Sidang SVOLUTION 2025 pacu ASEAN jadi hab dagang digital berasaskan AI

Sidang SVOLUTION 2025 pacu ASEAN jadi hab dagang digital berasaskan AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SVO.ai melancarkan platform super dagang berasaskan kecerdasan buatan (AI) pertama sekali gus mengukuhkan kedudukan ASEAN dalam ekosistem dagang digital global.

Pelancaran tersebut berlangsung sempena Sidang Kemuncak Digital SVOLUTION (SDS) 2025 di Bali, Indonesia dari 16 hingga 18 September lalu. 

Acara tiga hari itu diiktiraf sebagai persidangan dagang AI terbesar di rantau ini telah berjaya menarik lebih 3,500 peserta termasuk usahawan digital, pemasar afiliasi dan pencipta kandungan daripada lebih 65 negara.

Sidang kemuncak berkenaan turut menghimpunkan lebih 50 penceramah antarabangsa dan pemimpin industri teknologi seperti Meta, Google, BytePlus dan YouTube. 

Pada persidangan itu mereka berkongsi pandangan mengenai bagaimana kemajuan AI dapat dimanfaatkan untuk menjana pendapatan serta merevolusikan sektor dagang digital, di samping memberikan strategi praktikal kepada peserta.

Pengasas Bersama SVO.ai serta penganjur SDS, Andrew Lim berkata, ASEAN berpotensi menjadi peneraju global dalam penggunaan AI, namun memerlukan kerjasama lebih erat untuk membuka potensi sepenuhnya.

“Dengan mengumpulkan pakar digital antarabangsa di bawah satu bumbung, kami mencetuskan perbincangan penting tentang pembinaan ekosistem yang bersepadu dan mesra inovasi bagi seluruh rantau ini.

“Acara utama persidangan ialah pelancaran eksklusif platform SVO.ai, sistem dagang bersepadu yang dikuasakan pelbagai teknologi AI untuk mengautomasi proses utama perniagaan digital. 

“Platform itu direka untuk membantu sesiapa sahaja memulakan dan mengembangkan perusahaan dalam talian tanpa memerlukan kepakaran teknikal mendalam atau pasukan digital yang besar,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, pengasas bersama SVO.ai, Justin Teow menegaskan platform berkenaan dibangunkan bagi menangani cabaran terbesar usahawan digital masa kini.

“Ini bukan sekadar set alatan tambahan tetapi platform bersepadu yang diautomasi secara hiper, memudahkan semua proses daripada penciptaan kandungan hingga pengekalan pelanggan. Matlamat kami adalah memperkasakan generasi baharu pencipta dan usahawan agar dapat menumpukan perhatian kepada pertumbuhan perniagaan dan mencapai kebebasan kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, platform tersebut menawarkan pelbagai fungsi baharu termasuk keupayaan menghasilkan kandungan dan kempen pemasaran secara automatik, di samping mengurus serta mengoptimumkan iklan dengan lebih pintar.

Ia juga membolehkan jualan dan interaksi pelanggan dikendalikan secara automasi, sekali gus mempercepat proses penukaran jualan. 

Tambahan pula, SVO.ai menyediakan ekosistem lengkap “perniagaan-dalam-satu-kotak”, termasuk portfolio produk sedia jual dan sokongan operasi di bahagian pemenuhan pesanan.

SDS 2025 turut menerima pengiktirafan rasmi ASEAN Records sebagai sidang kemuncak dagang AI digital fizikal pertama dan terbesar di rantau ini. 

Dengan kejayaan penganjuran SDS 2025 dan pelancaran SVO.ai, ASEAN dilihat semakin bersedia menjadi hab inovasi dan dagang AI global, sekali gus memperkukuh kedudukan usahawan digital rantau ini di pentas dunia.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN