PETALING JAYA: Setel Ventures Sdn. Bhd. (Setel), aplikasi pengisian bahan api dan mobiliti Malaysia akan memberikan akses mudah kepada rakyat Malaysia yang layak bagi program BUDI Madani RON95 (BUDI95) bermula 30 September 2025.
Melalui pengesahan akaun yang hanya perlu dilakukan sekali sahaja menerusi aplikasi, pengguna boleh mengisi minyak di lebih 1,000 stesen Petronas tanpa perlu pengesahan MyKad secara manual pada setiap transaksi.
Selepas pengesahan dilakukan pengguna boleh menikmati manfaat tambahan di dalam ekosistem Setel seperti pengisian sekali tekan yang membolehkan pengaktifan pam terus dari kenderaan.
Setel Lite memberikan pengalaman lancar yang sama pada telefon mudah alih yang lama dan setiap transaksi juga akan memperoleh sehingga tiga kali ganda mata ganjaran Mesra Rewards, memberikan nilai tambah pada setiap liter.
Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Abdullah Ayman Awaluddin berkata, penambahbaikan ini merupakan usaha Setel untuk menyokong gaya hidup digital yang selaras dengan rutin masyarakat kita.
“Keutamaan Setel adalah untuk memberikan kemudahan dengan menjadikan pengisian bahan api lebih lancar dan pantas bagi rakyat Malaysia. Dengan pengesahan akaun sekali sahaja di aplikasi Setel, pengguna boleh terus ke pam tanpa perlu beratur dan memperoleh ganjaran untuk setiap transaksi mereka.
“Kami akan terus mengutamakan inisiatif yang boleh memanfaatkan serta memberi nilai kepada pelanggan kami bagi setiap keperluan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Abdullah Ayman menegaskan, Setel menjadikan keselamatan dan privasi sebagai keutamaan dengan beroperasi di bawah seliaan Bank Negara Malaysia bagi memastikan perlindungan data pengguna sepanjang proses pengesahan dan pengisian bahan api.
Ujarnya, kerangka kerja ini membuktikan komitmen Setel untuk memastikan setiap transaksi adalah selamat, boleh dipercayai dan lancar.
“Di bawah program BUDI95, rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas dengan MyKad dan lesen memandu yang sah akan menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter, dengan had 300 liter sebulan.
“Pemandu e-hailing juga akan diberi liter tambahan yang melebihi had bulanan bagi membantu kehidupan mereka,” katanya.
Pengguna boleh menyemak kelayakan dan baki BUDI95 mereka di aplikasi Setel mulai 25 September 2025 dengan maklumat penuh yang tersedia melalui saluran rasmi Setel manakala pengguna baharu yang mendaftar dan membuat pengesahan akaun juga berpeluang mendapatkan ganjaran melalui aplikasi Setel, pengedar stesen Petronas, acara jelajah serta rakan kongsi yang terlibat. – UTUSAN