REIT dijangka terus disokong jualan runcit, pelancongan

REIT dijangka terus disokong jualan runcit, pelancongan

SUNWAY REIT merekodkan pertumbuhan pendapatan sesaham (EPU) paling kukuh iaitu 24.6 peratus pada separuh pertama tahun kewangan 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) dijangka terus memperoleh sokongan daripada pertumbuhan jualan runcit yang kukuh dan peningkatan ketibaan pelancong, walaupun prospek kenaikan harga dilihat agak terhad susulan pemampatan hasil (yield compression), menurut MBSB Investment Bank Bhd.

Penganalisisnya, Jessica Low Jze Tieng berkata, keputusan kewangan separuh pertama tahun kalendar 2025 bagi enam REIT di bawah liputan bank itu kebanyakannya selari dengan unjuran dengan Axis REIT mencatat prestasi lebih baik berbanding jangkaan hasil sewaan yang lebih tinggi.

“Sunway REIT merekodkan pertumbuhan pendapatan sesaham (EPU) paling kukuh iaitu 24.6 peratus pada separuh pertama tahun kewangan 2025, disokong peningkatan hasil sewaan Sunway Pyramid Mall dan penstrukturan semula sayap Oasis. 

“Axis REIT pula melonjak 9.4 peratus hasil daripada pemerolehan lima aset baharu dan semakan sewaan positif,” katanya dalam nota penyelidikan. 

Selain itu, IGB REIT yang mengurus Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall, merekodkan pertumbuhan EPU sembilan peratus, manakala Pavilion REIT mencatat kenaikan 8.9 peratus hasil sumbangan Pavilion Bukit Jalil dan Elite Pavilion Mall. 

“KLCCP Stapled Group turut memperlihatkan pertumbuhan 6.2 peratus hasil daripada segmen runcit dan pejabat, manakala Al-`Aqar Healthcare REIT naik sederhana 1.7 peratus,” katanya. 

Jelas Jessica, momentum sektor runcit domestik kekal positif dengan nilai jualan mencecah RM466.6 bilion bagi tujuh bulan pertama 2025, meningkat 5.9 peratus tahun ke tahun. Perniagaan makanan dan minuman di pusat beli-belah juga stabil berikutan budaya bersosial serta kemudahan parkir yang selesa.

“Ketibaan pelancong ke Malaysia pada separuh pertama 2025 meningkat kepada 12.85 juta orang, naik 8.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Peningkatan ini dijangka berterusan menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan lebih 35 juta pelawat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, prestasi harga REIT mungkin dihadkan oleh pengetatan jurang hasil antara purata dividen REIT dan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun. 

“Spread antara hasil agregat KL REIT dengan MGS 10 tahun mengecil kepada di bawah 150 mata asas pada Julai, lebih rendah daripada purata jangka panjang 164 mata asas, sebelum pulih sedikit kepada 156 mata asas pada Ogos.

“Walaupun asas REIT kekal stabil dengan prospek semakan sewaan yang positif, pemampatan hasil mengehadkan daya tarikan pulangan. Purata hasil REIT bawah liputan kami kini sekitar 4.6 peratus, kurang kompetitif berbanding instrumen pendapatan tetap,” katanya. 

Menurut beliau, Pavilion REIT kekal sebagai pilihan utama dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran tidak berubah pada RM1.88 sesaham. 

Prospeknya disokong pertumbuhan organik Pavilion Kuala Lumpur melalui semakan sewaan berterusan, selain pemulihan Pavilion Bukit Jalil yang dijangka mendapat manfaat daripada aliran pengunjung stabil dan asas sewaan rendah.

“Fokus kepada lokasi strategik dan pengukuhan pusat beli-belah utama memberikan Pavilion REIT kelebihan berbanding rakan setara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN