KUALA LUMPUR: Negara-negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang diterajui ASEAN terbuka kepada usaha mengembangkan pakatan itu, yang merangkumi kira-kira 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), perdagangan dan penduduk dunia.
Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia, Dyah Roro Esti Widya Putri, adalah individu pertama yang mengesahkan bahawa rundingan mengenai penyertaan itu sedang dijalankan.
“(Mesyuarat) ini berlangsung dengan sangat baik.
“Terdapat banyak sokongan terhadap RCEP, dan ia hadir pada masa yang sesuai… Proses penyertaan sedang dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Menteri-Menteri RCEP ke-4, yang diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan hari ini.
Setakat ini, Dyah Roro berkata, terdapat empat negara yang terbabit dalam proses penyertaan itu.
Walaupun tidak memaklumkan tempoh masa tertentu bagi negara baharu itu membuat penyertaan secara rasmi, Dyah Roro memaklumkan butiran terperinci mengenainya akan diumumkan dalam masa terdekat.
Dyah Roro turut menegaskan tiada sebarang bantahan daripada negara anggota sedia ada terhadap penyertaan baharu itu.
“Tiada bantahan, tiada tentangan. Kesemuanya menyokong,” katanya sambil menyifatkan mesyuarat di peringkat menteri itu sebagai ‘produktif,” katanya.
Mesyuarat RCEP dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia, Dyah Roro Esti Widya Putri dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Muto Yoji. – UTUSAN