Raqtive Resources sasar jualan RM5j dalam 5 tahun

Raqtive Resources sasar jualan RM5j dalam 5 tahun

BELLA Razib (kiri) menunjukkan tudung sukan yang dikeluarkan oleh Raqtive Resources.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Raqtive Resources Sdn. Bhd. terus mengukuhkan kedudukan dalam pasaran tudung sukan tempatan dan antarabangsa selepas mencatat jualan RM1.2 juta pada 2023 dan menyasarkan RM5 juta setahun dalam tempoh lima tahun akan datang. 

Eksekutif Jualan dan Pemasaran, Bella Razib berkata, sasaran tersebut akan dipacu oleh pengukuhan berterusan di pasaran tempatan dan di pasaran eksport serta penembusan di pasaran baharu di luar negara.

Katanya, syarikat kini mempunyai lebih 20 ejen di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, selain pasaran luar negara seperti Singapura, Mauritius dan United Kingdom (UK).

“Mauritius menjadi pasaran penting kerana populasi masyarakat beragama Islam yang tinggi di sana, manakala operasi di London dimulakan sejak tahun lalu. Syarikat turut merancang untuk menembusi pasaran Eropah lain. 

“Setakat ini, Raqtive menawarkan lebih 50 unit penyimpanan stok (SKU) dalam dua kategori utama iaitu instant shawl dan semi-instant, di samping barangan merchandise seperti pakaian wanita, semuanya dihasilkan 100 peratus di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. 

Sementara itu, Bella berkata, tudung sukan mereka mempunyai rekaan tersendiri iaitu menggunakan kemasan piping di tepi bagi memastikan tudung kekal terletak ketika berlari.

Tambahnya, reka bentuk tudung diperbuat daripada fabrik microfiber teknologi quick dry tersebut telah didaftarkan sebagai tanda dagangan berdasarkan lakaran asal dari 2012. 

Jelasnya, ini sebagai usaha untuk menjaga harta interlek (IP) dalam pasaran supaya pelanggan tidak tertipu kerana ada banyak yang meniru reka bentuk yang sama.

“Memang ada pihak yang meniru rekaan kami, jadi kami menggesa pihak berkuasa dan platform e-dagang mengetatkan kawalan terhadap produk tiruan kerana kami sudah menyerahkan dokumen bukti keaslian produk,” ujarnya.

Bella berkata, bagi mendekatkan jenama dengan pelanggan Raqtive juga membina komuniti pelanggan setia melalui penganjuran aktiviti kecergasan bulanan seperti yoga dan pound workout, di samping penyertaan dalam pelbagai acara sukan dan karnival di seluruh negara.

Jenama tersebut diasaskan oleh pasangan suami isterinya iaitu Mohd Azmil Mahayuddin dan Prof. Dr. Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan yang bermula secara kecil-kecilan di rumah pada 2012 sebelum diperbadankan kepada Sdn. Bhd. pada 2016. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN