Prospek jangka panjang Bumi Armada kekal positif

Prospek jangka panjang Bumi Armada kekal positif

MBSB Research mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Bumi Armada.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Research mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Bumi Armada Bhd. (BAB) berikutan prospek jangka panjang syarikat kekal positif, meskipun keuntungan normalisasi separuh pertama tahun kewangan 2025 berada sedikit di bawah jangkaan firma itu dan konsensus, masing-masing pada 42 peratus dan 46 peratus.

Sehubungan itu, harga sasaran saham disemak turun kepada 54 sen berbanding 70 sen sebelum ini.

Firma penyelidikan berkata, pada suku kedua tahun kewangan 2025, BAB merekodkan hasil RM407.1 juta, susut 14 peratus suku ke suku dan 30 peratus tahun ke tahun, manakala bagi separuh pertama, hasil merosot 27 peratus tahun ke tahun kepada RM881.1 juta.

Menurutnya, penurunan itu berpunca daripada kadar sewaan lebih rendah Armada Kraken FPSO selepas bermulanya tempoh opsyen tahunan pada April lalu, selain kesan perbandingan dengan pendapatan lebih tinggi Armada Olombendo FPSO pada tahun sebelumnya.

“Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) normalisasi suku kedua pula merosot 49 peratus suku ke suku dan 64 peratus tahun ke tahun kepada RM96.5 juta, manakala bagi separuh pertama 2025 ia susut 47 peratus tahun ke tahun kepada RM284 juta.

“Walaupun keuntungan tertekan, BAB mengekalkan kedudukan tunai kukuh melebihi RM1.4 bilion dengan penjanaan tunai meningkat lebih 100 peratus suku ke suku kepada RM373 juta.

“Syarikat turut berjaya mengurangkan hutang dengan bayaran balik AS$63 juta (RM266 juta), sekali gus menurunkan nisbah hutang bersih kepada 0.28 kali,” katanya dalam nota penyelidikan.

Setakat suku kedua 2025, BAB mengekalkan buku pesanan bernilai RM9.1 bilion dengan lanjutan pilihan kontrak sekitar RM9.2 bilion, 72 peratus daripadanya disumbangkan oleh FPSO milik penuh kumpulan yang merekodkan kadar ketersediaan operasi 98.6 peratus.

MBSB berkata, projek Akia PSC telah menyiapkan kajian seismik 3D pada Mei lalu dan dijangka selesai diproses menjelang suku pertama 2026, manakala Kojo PSC dijadual memulakan pemerolehan data seismik 2D baharu pada separuh pertama 2026.

“BAB turut menyatakan minat membida projek FPSO baharu, namun akan lebih selektif berikutan kos pelaburan tinggi, kapasiti limbungan terhad, peraturan ketat serta harga minyak tidak menentu.

“Fokus akan diberikan kepada kontrak jenis Bina, Operasi dan Pindah (BOT),” jelasnya.

Tambah firma itu, ekoran prestasi separuh pertama tahun kewangan 2025 yang lemah, unjuran hasil bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 disemak turun 10 peratus setiap tahun.

“Namun begitu, kami kekal optimis terhadap prospek jangka panjang BAB berikutan perkembangan positif Akia dan Kojo PSC, peningkatan tender FPSO oleh Petronas, pembayaran hutang Olombendo menjelang tahun kewangan 2026 hingga 2027, selain strategi syarikat memperkukuh aliran tunai serta meneroka aset bukan teras, ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN