KUALA LUMPUR: Perdagangan digital merupakan keutamaan utama bagi United Kingdom (UK), bukan sahaja dalam keterlibatannya dengan ASEAN tetapi juga sebagai sebahagian daripada strategi ekonomi globalnya.
Timbalan Setiausaha Parlimen di Jabatan Sains, Inovasi dan Teknologi UK, Liz Lloyd berkata, UK telah mencapai kemajuan secara dua hala dengan negara anggota ASEAN melalui Perjanjian Ekonomi Digital bersama Singapura dan sedang meneroka potensi perjanjian perdagangan digital dengan Malaysia serta Thailand.
“Dalam ruang digital yang merupakan minat utama saya, kami terus bekerjasama rapat untuk memajukan perdagangan digital melalui Program Inovasi Digital kami,” katanya dalam ucapan sempena Konsultasi Menteri Ekonomi ASEAN (AEM)-UK kali kelima di sini hari ini.
Liz Lloyd menyatakan perdagangan digital adalah keutamaan strategik bagi UK, bukan sahaja di peringkat serantau, malah dalam dasar ekonominya di peringkat global.
“Kami sedang giat bekerjasama menerusi Program Inovasi Digital, dan telah mencapai kemajuan melalui Perjanjian Ekonomi Digital dengan Singapura serta sedang meneroka perjanjian serupa dengan Malaysia dan Thailand,” katanya.
Tambahnya, inisiatif ini mencerminkan hasrat bersama untuk menghapuskan halangan perdagangan digital dan membina ekonomi digital serantau yang lancar, selamat dan inklusif.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pihak ASEAN turut menyatakan penghargaan atas kerjasama yang semakin berkembang bersama UK sejak negara itu diiktiraf sebagai Rakan Dialog baharu ASEAN pada 2021 yang pertama dalam tempoh 25 tahun.
“Menteri-Menteri ASEAN menekankan kepentingan kerjasama digital dalam memperkukuh integrasi ekonomi serantau, termasuk melalui Program Integrasi Ekonomi ASEAN-UK (EIP) yang dilancarkan pada 2024.
“Program ini menyokong pembaharuan peraturan, kemudahan perdagangan termasuk perdagangan digital, serta kemasukan kewangan.
“Kami komited untuk terus memperluas pelaksanaan komitmen dalam Deklarasi Bersama Menteri ASEAN-UK mengenai Kerjasama Ekonomi Masa Depan,” katanya.
Data terbaharu menunjukkan jumlah perdagangan dua hala ASEAN-UK mencecah lebih $53 bilion pada tahun lalu, meningkat hampir 10 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan UK kini merupakan pelabur keempat terbesar di ASEAN.
Menjelang 2026, ASEAN dan UK dijangka merundingkan Pelan Tindakan Ekonomi baharu yang akan diselaraskan dengan strategi perindustrian moden UK serta Visi ASEAN 2045.
Kedua-dua pihak turut melihat potensi untuk memperkukuh kerjasama melalui Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.
Dengan penyertaan UK dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) sejak Disember 2024, kerjasama ekonomi antara UK dan rantau Asia Pasifik dijangka terus kukuh, termasuk melalui cadangan dialog perdagangan dan pelaburan rasmi antara CPTPP dan ASEAN.
Konsultasi ini menjadi platform penting untuk menerjemahkan komitmen strategik kepada tindakan nyata yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan perniagaan di kedua-dua rantau.-UTUSAN