PayNet lantik Praveen Rajan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan

PayNet lantik Praveen Rajan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan

FARHAN AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) melantik Praveen Rajan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, berkuat kuasa 1 Disember 2025. 

Ia susulan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya berkuat kuasa 31 Januari 2026. 

PayNet berkata, Praveen kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna di CelcomDigi Berhad, membawa lebih dua dekad pengalaman dalam industri telekomunikasi mudah alih dan digital dengan rekod pencapaian cemerlang dalam transformasi berasaskan teknologi yang kritikal dan dikawal selia, strategi pelanggan serta inovasi. 

“Farhan telah menerajui PayNet sejak awal tahun 2022, memimpin organisasi tersebut melalui fasa pertumbuhan dan transformasi yang ketara. 

“Di bawah kepimpinannya, PayNet telah menyaksikan lonjakan jumlah transaksi sebanyak 275 peratus daripada tiga bilion kepada lebih lapan bilion transaksi, sambil memperkukuh infrastruktur pembayaran masa nyata DuitNow Malaysia sebagai antara sistem paling canggih dan dipercayai di peringkat global,” katanya dalam kenyataan. 

PayNet berkata, terdapat program keterangkuman kewangan seperti PayNet Cambah, yang membina kemakmuran digital untuk komuniti yang kurang mendapat perhatian dan PayNet Akar yang membangunkan kemahiran digital masa hadapan untuk belia Malaysia. 

“PayNet di barisan hadapan dalam pembayaran rentas sempadan global serta memacu inisiatif nasional utama dalam inovasi digital termasuk Portal Anti-Penipuan Kebangsaan dan PayNet Fintech Hub,” jelasnya.

Pengerusi PayNet, Datuk Izzaddin Idris berkata, lembaga pengarah merakamkan penghargaan kepada Farhan di atas kepimpinan cemerlang dan komitmen beliau dalam memperkukuh infrastruktur pembayaran negara, selaras dengan mandat utama PayNet. 

“Kami juga mengalu-alukan perlantikan Praveen sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan. Pengalaman beliau dalam transformasi digital dan pertumbuhan berfokuskan pelanggan akan menjadi aset penting untuk PayNet terus melangkah ke fasa berikutnya,” katanya. 

Dalam pada itu, Farhan berkata, berkhidmat untuk PayNet merupakan satu penghormatan. 

Katanya, pihak berbangga dengan pencapaian bersama dan teruja untuk melihat PayNet terus melakar kejayaan di masa hadapan, sementara beliau meneruskan perjalanan baharu di dalam kehidupan peribadinya. 

 “Peralihan kepimpinan akan diurus dengan teliti sepanjang beberapa bulan akan datang bagi memastikan penyerahan tanggungjawab berjalan lancar. 

“Barisan kepimpinan PayNet akan terus melaksanakan pelan strategik syarikat bagi memastikan kesinambungan dan kestabilan organisasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN