Panduan persediaan menghadapi gempa bumi

Panduan persediaan menghadapi gempa bumi

PERSEDIAAN awal dalam menghadapi gempa bumi dapat mengurangkan risiko kecederaan dan kerosakan harta benda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA sememangnya bukan terletak di kawasan zon gempa utama, namun gegaran yang dirasai di Segamat, Johor baru-baru ini menjadi peringatan jelas bahawa persediaan tetap diperlukan.

Walaupun hanya berlaku beberapa saat, impaknya cukup untuk mencetuskan kebimbangan, terutama terhadap keselamatan rumah dan keluarga. 

Persediaan awal mampu mengurangkan risiko kecederaan, kerosakan harta benda, malah menyelamatkan nyawa.

Oleh itu, langkah jangka panjang amat penting agar rakyat tidak panik jika berdepan kejadian sebenar.

Berikut adalah tujuh panduan persediaan menghadapi gempa bumi yang boleh dipraktikkan oleh orang ramai.

Fahami laluan keluar kecemasan

Kenal pasti pintu keluar utama, pintu belakang dan tingkap yang boleh dijadikan laluan alternatif ketika kecemasan. 

Tetapkan juga kawasan lapang berdekatan seperti padang atau jalan terbuka sebagai lokasi berkumpul agar mudah mencari ahli keluarga yang lain.

Sediakan kit kecemasan

Kit kecemasan bukan sekadar lampu suluh dan bateri, tetapi juga perlu ada radio mudah alih, ubat-ubatan asas, makanan kering, air minuman botol, powerbank serta salinan dokumen penting seperti kad pengenalan dan sijil lahir. 

Semua ini sebaiknya diletakkan dalam beg mudah alih yang boleh dicapai dalam beberapa saat.

Periksa keselamatan struktur rumah

Buat pemeriksaan berkala pada bahagian dinding, tiang, lantai dan bumbung untuk mengesan keretakan kecil yang mungkin menjadi bahaya jika berlaku gegaran lebih kuat. 

Jika ada tanda-tanda kerosakan, dapatkan pemeriksaan jurutera bertauliah bagi memastikan rumah masih selamat didiami.

Ketahui cara menutup utiliti utama

Pastikan semua ahli keluarga tahu cara mematikan suis utama elektrik, injap gas dan meter air. 

Menutup utiliti ini dengan segera mampu mengelakkan kebakaran, letupan atau banjir kecil dalam rumah ketika berlaku gegaran.

Ikuti saluran rasmi maklumat bencana

Dalam era media sosial, maklumat palsu mudah tersebar. 

Oleh itu, sentiasa rujuk sumber rasmi seperti MetMalaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) atau pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan pengesahan mengenai gempa bumi dan arahan lanjut.

Pertimbangkan perlindungan insurans

Insurans rumah atau perlindungan bencana mungkin jarang difikirkan sebelum ini, namun ia boleh meringankan beban kewangan sekiranya berlaku kerosakan harta benda. 

Dengan premium yang berpatutan, pemilik rumah boleh mendapat perlindungan daripada kerugian besar.

Adakan latihan kecemasan keluarga

Amalkan latihan kecemasan secara berkala, sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. 

Biasakan anak-anak dengan tindakan ‘Drop, Cover, Hold On’ (merendahkan badan, berlindung di bawah perabot kukuh, dan berpegang erat). 

Latihan seperti ini boleh membantu mengurangkan panik dan memastikan setiap ahli keluarga tahu apa yang perlu dilakukan.

Persediaan seperti ini mungkin nampak kecil, namun ia mampu memberi perbezaan besar apabila berdepan dengan bencana alam yang berlaku tanpa amaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN