OPR dijangka kekal pada 2.75 peratus hingga akhir tahun

OPR dijangka kekal pada 2.75 peratus hingga akhir tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada paras 2.75 peratus dalam tempoh terdekat, termasuk ketika Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bersidang semula pada mesyuarat terakhir November ini.

Kelmarin, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) semalam.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, keputusan tersebut sejajar dengan jangkaan kebanyakan ahli ekonomi termasuk pihaknya.

“Kenyataan BNM menunjukkan keyakinan terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi 2025 antara 4.0 hingga 4.8 peratus, didorong oleh inflasi sederhana.

“Selepas tahun ini, BNM dijangka terus bergantung pada data sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan OPR,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurut beliau, dengan andaian pertumbuhan luar negara kekal dalam trajektori unjuran BNM, kadar OPR dijangka turut dikekalkan pada paras 2.75 peratus sehingga 2026.

“Bagaimanapun, memandangkan inflasi dijangka sederhana, BNM masih mempunyai ruang dasar untuk menurunkan OPR sekiranya diperlukan,” jelasnya.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keputusan BNM untuk mengekalkan OPR itu dikira sebagai ideal untuk ekonomi semasa Malaysia dan juga perkembangan ekonomi global. 

“Setelah menurunkan sebanyak 0.25 peratus pada mesyuarat MPC yang lalu, ekonomi negara berada dilandasan yang terbaik untuk terus mencapai unjuran awal keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara bagi 2025 iaitu antara 4.0 ke 4.8 peratus. 

“Malah untuk kedua suku pertama dan kedua, masing-masing mencatatkan 4.4 peratus walaupun menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu berikutan Pengumuman Trump mengenakan tarif import ke pelbagai negara termasuk Malaysia,” katanya. 

Aimi berkata, setakat ini tariff 19 peratus dikenakan keatas eksport Malaysia ke AS, yang dikirakan kompetitif berbanding dengan negara-negara lain terutamanya di Asia Tenggara. 

“Bagaimanapun cabaran tarif keatas semikonduktor belum lagi dimuktamadkan dimana ini memberikan kesan besar kepada eksport Malaysia ke AS,” ujarnya.

 Dalam pada itu, CIMB Treasury And Markets Research berkata, keputusan itu mencerminkan keyakinan bahawa dasar monetari kekal akomodatif, sambil memberi ruang untuk menilai kesan daripada langkah pemotongan awal sebanyak 25 mata asas pada Julai lalu.

“BNM menekankan ketahanan petunjuk makroekonomi terkini, dengan KDNK kekal pada paras 4.4 peratus tahun ke tahun bagi 2025 dan eksport meningkat 6.8 peratus tahun ke tahun pada Julai. 

“Lebih penting lagi, kenyataan bulan September ini membawa nada yang lebih konstruktif apabila tidak lagi menyebut kebimbangan terdahulu mengenai langkah pemotongan awal.Ini juga menekankan bahawa kejayaan rundingan tarif telah membantu mengurangkan ketidaktentuan global,” katanya dalam satu nota penyelidikan. -UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN