FENOMENA rumah Instagrammable ini memang sedang memuncak.
Namun jika kita melihat dari sudut pandang yang lebih luas, ia bukan sekadar trend estetik kosong.
Sebaliknya, bagi kebanyakan pembeli muda, ia adalah langkah strategik yang menggabungkan keperluan fungsional dan pulangan kewangan.
Generasi muda hari ini semakin ramai yang terlibat dalam kerjaya kreatif, e-dagang atau bekerja dari rumah sepenuhnya.
Dalam konteks ini, rumah bukan lagi sekadar tempat tinggal. Ia adalah studio, ruang kerja dan pejabat peribadi.
Bagi Ejen Hartanah Berdaftar, IQI Realty, Muhazrol Muhamad berkata, membina ruang yang estetik dan selesa adalah satu keperluan, bukan kemewahan.
Katanya, latar belakang yang menarik untuk mesyuarat dalam talian, pencahayaan yang sempurna untuk rakaman video atau sudut yang kemas untuk foto produk.
“Semua ini memainkan peranan penting dalam kelangsungan kerjaya mereka.
“Secara kewangan, melabur dalam hartanah yang memenuhi keperluan ini adalah lebih masuk akal berbanding menyewa ruang pejabat tambahan. Ini bermakna kos ansuran bulanan rumah secara tidak langsung menjadi perbelanjaan kerja yang menjana pendapatan.
“Malah, nilai Instagrammable ini membuka pintu kepada satu lagi peluang pelaburan yang lumayan sebagai unit sewaan harian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya, hartanah yang cantik dihias dengan unik akan sentiasa menarik perhatian.
“Rumah Instragrambale jika dijadikan sebagai unit sewaan harian akan lebih mudah mendapat perhatian pengunjung, terutamanya kepada golongan muda.
“Setiap kali penyewa berkongsi pengalaman mereka di media sosial, ia berfungsi sebagai pemasaran percuma. Ini meningkatkan populariti unit tersebut, menarik lebih ramai tetamu dan membolehkan pemilik mengenakan kadar sewaan yang lebih tinggi. Ini adalah cara bijak untuk menjana pendapatan pasif,” katanya.
Sebagai seorang ejen hartanah, beliau sentiasa menasihati anak muda untuk bijak berbelanja.
“Rumah Instagrammable bukan lagi satu fantasi. Ia adalah satu bukti bagaimana gaya hidup, kerjaya dan strategi kewangan generasi baharu telah berevolusi. Ia adalah hartanah yang bukan sahaja memberikan perlindungan, tetapi juga nilai komersial yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengasas PropertyBoss, Usamah Kamarudin berkata, trend pembelian rumah oleh pasangan muda (bawah 40 tahun) yang lebih berminat untuk membeli ke arah rumah yang cantik, rekaan unik dan Instagrammable.
“Selain faktor rumah itu kena dengan citarasa semasa orang muda, saya kenalpasti mereka juga dilihat lebih terpengaruh dengan gaya hidup yang ditayangkan pempengaruh atau selebriti sekarang yang gemar OOTD (outfit of the day) dengan latar belakang yang cantik
Beliau memaklumkan, pengalaman menjual rumah seperti The Mulia Residence dan Serene Mont Kiara, dimana golongan muda sangat tertarik dengan rekaan yang Instagrammable.
“Jadi transaksi jualan begitu memberangsangkan kerana golongan muda sangat tertarik dengan rekaan dan persekitaran yang cantik.
Katanya, jika dibandingkan harga, masih ada pilihan harga yang lebih rendah. Bagaimanapun, mereka lebih memilih rekaan rumah yang cantik dan persekitaran yang terjaga.
“Kebanyakan tidak kisah membayar lebih asalkan dapat kawasan yang cantik dan terjaga ni,” katanya.
“Ini menimbulkan kebimbangan juga kerana orang muda kini tidak lagi menghiraukan lagi faktor pelaburan. Asalkan rumah cantik dan kondusif, mereka sanggup beli rumah pada harga yang mahal dan lokasinya jauh.
“Tetapi, ada golongan sebegini yang bijak memilih lokasi yang lebih strategik. Ia pasti jadi pelaburan yang bagus kerana pasti ada permintaan sekiranya mereka nak menjual kembali rumah kerana rumah cantik dan kawasan terjaga lebih diminati pembeli,’ katanya.
Jelas beliau, sebagai contoh, The Mulia Residence, Cyberjaya mencatatkan penjualan tinggi untuk subsale selepas pemilik rumah dapat kunci. – UTUSAN