SEREMBAN: Negeri Sembilan bakal muncul sebagai hab automotif moden serantau menerusi Projek Pembangunan Auto City di Bandar Pintar Nilai yang dijangka mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan.
Fasa pertama projek berimpak tinggi itu melibatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM1 bilion di kawasan seluas 90 ekar dengan menawarkan kemudahan bilik pameran kenderaan, pusat servis, kedai alat ganti, pusat rawatan estetik automotif dan ruang gaya hidup berteraskan teknologi automotif.
Auto City juga menjadi komponen utama daripada tujuh zon pembangunan Bandar Pintar Nilai yang meliputi 1,800 ekar termasuk zon pembuatan kenderaan elektrik, pergudangan, perubatan, perumahan, pendidikan serta pusat teknologi digital.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek yang diterajui Nilai Resources Group Sdn. Bhd. bersama China Shandong International Sdn. Bhd. diyakini mampu mengangkat kedudukan Nilai sebagai bandar terpenting bukan sahaja di Negeri Sembilan malah di kawasan Lembah Klang.
“Majlis pecah tanah pada hari ini (semalam) menandakan kesungguhan pelaksanaan selepas Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua belah pihak ditandatangani bulan lalu.
“Projek pembangunan ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun, dengan fasa pertama bernilai RM1 bilion akan dilaksanakan dalam masa dua tahun,” katanya dalam sidang media selepas majlis pecah tanah projek itu di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Shandong Hi Speed Group, Wang Qifeng dan Pengerusi Nilai Resources Group Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Dr Gan Kong Seng.
Sementara itu, Aminuddin dalam ucapan turut berkata, kedudukan strategik Nilai berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Putrajaya serta akses lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), ELITE, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan MEX menjadikannya pintu gerbang mobiliti, pentadbiran dan pelaburan serantau.
“Bandar Pintar Nilai juga seiring dengan aspirasi Malaysia Vision Valley (MVV) yang memacu pelaburan bernilai tambah tinggi, teknologi canggih dan pembangunan mapan di Negeri Sembilan.
“Kehadiran Auto City bukan sahaja menarik jenama automotif antarabangsa, malah membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian bekalan industri,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar projek Auto City ini bakal menjadi pemangkin utama kepada pembangunan zon-zon lain dalam Bandar Pintar Nilai, seperti zon zon pembuatan kenderaan elektrik (EV), zon perubatan, zon pendidikan, zon pergudangan dan zon perumahan.
“Auto City akan melengkapkan daya tarikan Nilai sebagai hab automotif, pusat teknologi serta destinasi pelaburan yang memberi impak positif bukan sahaja kepada ekonomi negeri, bahkan juga kepada kesejahteraan rakyat.
“Pembangunan ini akan membuka ruang baharu untuk usahawan tempatan, memperkukuh ekosistem perniagaan kecil dan sederhana (PKS), serta menyokong agenda kerajaan negeri untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini,” katanya. – UTUSAN