KUALA LUMPUR: Pelancaran MSPO Impact Alliance oleh Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dijangka membantu memperkukuh dan memposisikan kepimpinan Malaysia dalam pengeluaran minyak sawit mampan di peringkat antarabangsa.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penubuhan ini penting untuk mempercepat transformasi industri sawit Malaysia agar selaras dengan tuntutan pasaran global yang menekankan kelestarian dan tanggungjawab sosial.
Katanya, MSPO Impact Alliance itu disokong oleh 28 ahli pengasas termasuk syarikat FMCG global, pengusaha ladang, wakil pekebun kecil, persatuan industri, pertubuhan masyarakat sivil, institusi kewangan, badan pensijilan, badan pemikir serta organisasi antarabangsa.
“MSPO Impact Alliance akan menjadi hab kolaborasi berstruktur yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan untuk berkongsi pandangan, kepakaran serta mencetus inovasi baharu dalam industri.
“Platform ini juga akan berfungsi sebagai saluran rasmi memberi maklum balas bagi memastikan piawaian MSPO kekal setanding piawaian antarabangsa,” katanya kepada media selepas melancarkan MSPO Impact Alliance di ibu negara di sini hari ini.
Selain itu, Johari berkata, antara fokus utama penubuhannya ialah untuk menjadi medan ujian bagi pelaksanaan penyelesaian baharu seperti keterkesanan jejak digital (traceability), pembiayaan mampan, model perkongsian kos, serta mekanisme rantaian bekalan inklusif yang mampu meningkatkan daya saing industri sawit negara.
“Melalui penyertaan dalam projek perintis, ahli platform ini berpeluang menguji penyelesaian praktikal sebelum penguatkuasaan peraturan global baharu dan memperkukuh persediaan industri sawit negara dalam menghadapi cabaran dan keperluan pasaran dunia,” katanya.
Tambah beliau, platform itu turut membuka peluang kepada ahli untuk terlibat secara langsung dalam membentuk evolusi piawaian MSPO dan menyumbang kepada perbincangan dasar nasional berkaitan masa depan sektor sawit negara.
“Langkah penubuhan MSPO Impact Alliance turut dilihat sebagai usaha memperkukuh pengiktirafan yang diberikan oleh Kesatuan Eropah (EU) terhadap pensijilan MSPO sebagai skim kemampanan yang berwibawa.
“Dengan sistem jejak digital bertaraf tinggi dan diyakini, sudah tentu ia mampu membantu pengusaha Malaysia mematuhi Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR).
“Pengiktirafan ini akan memanfaatkan lagi Malaysia dalam memperluas lagi penerimaan pasaran global terhadap minyak sawit negara,” katanya.
Mengulas mengenai penerimaan impak oleh pekebun kecil, Johari berkata, sistem MSPO akan membuatkan hasil pekebun kecil juga boleh diterima, diproses oleh syarikat besar, lalu dieksport.
“Dahulu hanya syarikat besar yang mampu eksport kerana mereka ada sistem jejak sendiri. Hasil pekebun kecil tidak boleh masuk.
“Tapi dengan sistem ini, semua pekebun akan mendapat manfaat dan akan meningkatkan eksport kita pada masa hadapan,” katanya. -UTUSAN