PETALING JAYA: MMC Port Holdings Berhad (MMC Ports) bakal melancarkan antara tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di negara ini selepas memperoleh kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia).
Menerusi penyenaraian, tawaran awam permulaan (IPO) MMC Ports akan merangkumi tawaran jualan sehingga 4.3 bilion saham, mewakili sehingga 30 peratus daripada modal saham terbitannya yang berjumlah kira-kira 14.2 bilion saham.
Sehubungan itu, daripada 4.3 bilion saham, sebanyak 284.8 juta saham telah diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, manakala 1.3 juta saham lagi akan ditawarkan kepada Pengarah MMC Ports serta pengurusan kanan utama MMC Ports dan anak-anak syarikatnya.
Baki sehingga 4.0 bilion saham akan diagihkan kepada institusi Malaysia dan asing serta pelabur terpilih.
Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, kumpulan berhasrat melangkah ke fasa seterusnya sebagai sebahagian perkembangan semula jadi untuk meningkatkan profil korporat dan memperluas keterlihatan dalam kalangan komuniti pelabur melalui akses ke pasaran modal.
Menurutnya, pelabuhan MMC Ports akan terus memainkan peranan penting yang memerlukan pelaburan berterusan bagi menyokong perdagangan dan infrastruktur logistik negara, seiring usaha Malaysia untuk memposisikan diri sebagai hab jumlah kendalian global.
“Kami sedang giat memperluas kapasiti pengendalian kontena dan kargo konvensional serta meningkatkan kecekapan operasi melalui digitalisasi dan automasi untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Selat Melaka.
“Ia turut mencerminkan MMC Ports sebagai pengendali empat daripada lima pelabuhan terbesar di Malaysia dari segi jumlah kendalian kontena pada 2024, di mana dua daripadanya termasuk dalam tujuh pelabuhan teratas di Asia Tenggara.
“Selain itu, kami juga meneroka peluang pengembangan bukan organik melalui usaha strategik dan kerjasama bagi memanfaatkan pertumbuhan perdagangan global.
“Ini termasuk peluang daripada pemindahan aktiviti perkilangan, pusat pengedaran serantau dan penyusunan semula rantaian bekalan global,” katanya dalam kenyataan.
MMC Ports merupakan pengendali pelabuhan kontena terbesar di Malaysia serta hab kontena utama negara bagi kargo pemindahan muatan dan pintu masuk.
Kumpulan itu juga menduduki tempat pertama sebagai pengendali pelabuhan persendirian terbesar di Asia Tenggara, dan tempat kelima di dunia dalam kalangan pengendali terminal persendirian terkemuka berdasarkan jumlah kendalian terlaras ekuiti pada 2023.
CIMB Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penyelaras global bersama, pembukuan bersama, pengunderait tunggal utama dan pengunderait bersama bagi IPO tersebut.
Dalam pada itu, The Hongkong and Shanghai Banking Corporation Limited, Cawangan Singapura turut bertindak sebagai penyelaras global bersama dan pembukuan bersama.
Sementara itu, AmInvestment Bank Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd. , CLSA Limited dan CLSA Securities Malaysia Sdn. Bhd., Jefferies Singapore Limited, Kenanga Investment Bank Berhad, Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad merupakan pembukuan bersama. – UTUSAN