KUALA LUMPUR: Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dan pemimpin dari negara Peserta Sidang Kemuncak Asia Timur (EPC) menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh integrasi ekonomi serantau, dalam Konsultasi Ke-13 Menteri-Menteri Ekonomi Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS-EMM) di Kuala Lumpur.
Pengerusi Menteri Ekonomi ASEAN, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menyeru agar semua pihak tidak terpesong oleh isu-isu sampingan, sebaliknya kekal fokus terhadap objektif bersama yang telah dipersetujui.
“Marilah kita terus berpegang kepada matlamat bersama dan tidak terpesong oleh isu-isu yang boleh menggugat hala tuju kolektif kita.
“Dialog terbuka, semangat kerjasama dan keazaman bersama adalah kunci kepada kemajuan rantau ini,”katanya dalam ucapan dalam Konsultasi Ke-13 Menteri-Menteri Ekonomi Sidang Kemuncak Asia Timur di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu turut menekankan cabaran ekonomi global memerlukan pendekatan serantau yang lebih tersusun, berasaskan prinsip kebersamaan dan kesepakatan.
Mesyuarat kali ini turut menyentuh prospek ekonomi bagi tahun 2026, dengan tumpuan kepada pelaksanaan integrasi ekonomi berteraskan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) di bawah Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026–2030.
Statistik terkini menunjukkan bahawa pada tahun 2024, perdagangan barangan dua hala antara ASEAN dan negara EPC bukan ASEAN telah mencecah AS$1.9 trilion, manakala aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dari negara-negara tersebut ke ASEAN berjumlah AS$92.8 bilion.
Data ini menggariskan potensi besar untuk kerjasama ekonomi yang lebih mendalam, termasuk dalam sektor perdagangan, pelaburan dan hubungan rakyat ke rakyat.
Tengku Zafrul turut menegaskan perpaduan dan iltizam politik dalam kalangan negara anggota dan rakan serantau akan menentukan kejayaan jangka panjang ASEAN sebagai blok ekonomi utama dunia.
“Hanya dengan kesatuan dan tumpuan terhadap matlamat bersama, kita mampu membawa perubahan bermakna kepada ekonomi serantau serta kesejahteraan rakyat kita,” katanya.
Mesyuarat diteruskan dengan agenda rasmi yang merangkumi pengesahan agenda dan pembentangan dasar berkaitan pembangunan ekonomi serantau.-UTUSAN