Malaysia, AS terus runding perjanjian perdagangan timbal balik

Malaysia, AS terus runding perjanjian perdagangan timbal balik

DATUK Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika ditemui pemberita di Mesyuarat AEM. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat untuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik dengan Amerika Syarikat (AS) sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada bulan Oktober, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, perjanjian tersebut kini berada di peringkat akhir, dan kerajaan hanya perlu memperhalusi beberapa butiran kecil.

Menurutnya, perkara ini telah dibincangkan semasa pertemuan dua hala beliau bersama wakil perdagangan AS, Jamieson Greer, serta delegasinya ketika lawatan mereka sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 yang sedang berlangsung.

“Greer menyatakan kita perlu berusaha memuktamadkan perjanjian tersebut sebelum lawatan Presiden AS, Donald Trump,” katanya ketika ditemui pemberita di Mesyuarat AEM.

Namun begitu, Tengku Zafrul berkata, isu mengenai cadangan penurunan tarif semasa sebanyak 19 peratus ke atas barangan Malaysia tidak dibincangkan.

“Itu terpulang kepada pentadbiran AS. Buat masa ini, fokus kita adalah untuk memuktamadkan perkara yang telah dipersetujui. Butiran lanjut mengenainya akan dimasukkan dalam perjanjian (tarif) yang akan diumumkan kelak.

“Apabila perjanjian itu dikeluarkan nanti, kita akan teliti satu persatu apa yang telah dipersetujui, dan perkara yang ingin kita persetujui bagi langkah seterusnya,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, semasa pertemuannya dengan Greer, beliau telah menyuarakan kebimbangan Malaysia, di samping mengambil maklum akan keprihatinan pihak AS.

“Kami berbincang mengenai kepentingan perdagangan dengan AS, khususnya dalam beberapa sektor utama, antaranya industri semikonduktor.

“Pertemuan itu amat baik kerana ia membuka ruang perbincangan isu-isu penting yang menjadi keutamaan Malaysia, terutamanya memandangkan Amerika Syarikat adalah pasaran eksport terbesar bagi negara kita,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan kepentingan memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik dengan Amerika Syarikat, sambil menyatakan ia akan membantu merangka dasar dan perancangan perniagaan bagi kedua-dua negara.

Anwar berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Greer dan delegasinya semasa lawatan mereka ke Mesyuarat AEM ke-57 dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur.

Presiden AS, Donald Trump dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN