PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) memberi jaminan akan meningkatkan prestasi operasi KLIA Aerotrain selepas insiden gangguan perkhidmatan pada 3 September lalu yang berpunca daripada kerosakan peranti pengumpul arus (CCD).
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, syarikat memandang serius isu berkenaan walaupun Aerotrain baru sahaja menjalani penyelenggaraan berjadual selama dua minggu yang melibatkan semua kontraktor.
“Saya dimaklumkan oleh Ketua Penyelaras Projek Aerotrain, Alstom, bahawa punca insiden semalam adalah peranti pengumpul arus (CCD) yang tertanggal sehingga menyebabkan kehilangan kuasa pada tren.
“Dalam perbincangan yang sedang berlangsung, Alstom telah bersetuju memberikan penjelasan lebih terperinci berhubung CCD yang tertanggal itu.
“Saya juga telah meminta Alstom menjalankan siasatan menyeluruh dan bekerjasama rapat dengan pasukan kejuruteraan kami semasa penyelenggaraan tren harian bagi mengenal pasti sebarang risiko berpotensi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan, prestasi Aerotrain diukur melalui Keberadaan Perkhidmatan Operasi (OSA) yang mencatat 97.27 peratus pada bulan pertama (Julai 2025) dan meningkat kepada 99.93 peratus pada Ogos.
“Jumlah penumpang yang dipindahkan juga bertambah kepada 1.7 juta pada Ogos berbanding 1.4 juta pada Julai.
“Dari segi jarak perjalanan tren, tiga Aerotrain mencatat purata 10,723 kilometer (km) pada Ogos berbanding 10,586 km pada Julai dengan dua tren menunjukkan peningkatan ketara pada minggu terakhir Ogos.
“Walaupun tiada gangguan terhadap operasi lapangan terbang dan pemindahan penumpang semasa insiden berlaku, kami mahu memastikan masalah teknikal dapat dicegah lebih awal.
“Justeru, langkah penambahbaikan sistem termasuk kemas kini perisian akan dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Negara Alstom Malaysia, Sim Ooi Kok berkata, Alstom mengakui gangguan perkhidmatan baru-baru ini yang melibatkan salah satu unit KLIA Aerotrain pada 3 September 2025.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pembekal untuk menyokong siasatan menyeluruh terhadap punca insiden, yang pada peringkat awal dikenal pasti berpunca daripada CCD.
“Insiden ini tidak mencerminkan keseluruhan prestasi sistem Aerotrain yang baru dilancarkan semula.
“Sebagai langkah berjaga-jaga dan pembetulan untuk mengukuhkan kebolehpercayaan sistem, semua CCD akan diperiksa setiap hari bagi mengesan sebarang tanda keabnormalan.”
“Alstom komited menyediakan sistem APM yang selamat dan boleh dipercayai serta terus menyokong pasukan Malaysia Airports bagi memastikan perkhidmatan tanpa gangguan,” ujarnya.