Luckin Coffee, Fiziwoo perkenal stor konsep pertama berinspirasikan batik

Luckin Coffee, Fiziwoo perkenal stor konsep pertama berinspirasikan batik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jenama kopi gaya hidup terkemuka, Luckin Coffee menjalin kerjasama dengan pereka fesyen tempatan, Fiziwoo melalui pelancaran Stor Konsep Luckin Coffee x Fiziwoo di Pavilion Damansara Heights.

Bertemakan Rasa Merdeka, Gaya Malaysia, stor konsep berinspirasikan batik itu akan dipromosikan secara eksklusif sepanjang setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Luckin Coffee Malaysia, Dr. Jeff Lim Chee Lip berkata, usaha sama berkenaan mencerminkan komitmen syarikat dalam mencipta pengalaman unik bagi pelanggan tempatan.

“Kolaborasi bersama Fiziwoo ini menandakan detik penting buat Luckin Coffee di Malaysia. Di Luckin Coffee, kami komited untuk mencipta detik “Lucky Momen” dan menginspirasi kehidupan seharian melalui pengalaman gaya hidup kopi yang berbeza. 

“Sebagai jenama yang diusahakan dengan bangga oleh rakyat Malaysia, kami berkongsi visi yang sama dengan Fiziwoo untuk meraikan semangat kebangsaan melalui ekspresi yang simbolik dan kreatif. 

“Usahasama ini merupakan penghargaan kepada keindahan warisan yang abadi, ditafsir melalui kopi dan menawarkan ruang bersama di mana budaya,” katanya semasa pelancaran Stor Konsep Luckin Coffee x Fiziwoo di Kuala Lumpur. 

Dari segi perkembangan perniagaan, beliau berkata, Luckin Coffee Malaysia telah membuka 40 cawangan biasa dalam tempoh lapan bulan. 

“Kami turut mensasarkan 70 hingga 80 cawangan menjelang hujung tahun ini, khususnya di Lembah Klang.

“Tahun depan, apabila operasi semakin stabil, kami bercadang mengembangkan lagi ke utara, selatan dan Pantai Timur. Sasaran kami ialah mencapai lebih 100 cawangan menjelang akhir tahun depan,” ujarnya. 

Dalam pada itu, melalui kolaborasi itu, Fiziwoo menghasilkan rekaan busana couture berasaskan inspirasi biji kopi dan rusa, ikon Luckin Coffee, selain mengetengahkan tiga pakaian tradisional iaitu Baju Kebaya, Saree dan Qi Pao yang diberi sentuhan moden.

Pengarah Urusan Fiziwoo, Izree Kai Haffiz berkata, setiap corak batik membawa makna tersendiri dan kerjasama dengan Luckin Coffee membuka peluang untuk menyampaikan cerita tersebut dalam cara yang baharu.

“Fesyen sentiasa menjadi cara kami memelihara cerita. Setiap corak Batik membawa makna turun-temurun. 

 “Apa yang paling mengujakan kami tentang kolaborasi ini ialah bagaimana cerita-cerita ini boleh dialami dalam cara yang tidak dijangka, sama ada melalui secawan kopi, fesyen busana, atau sekadar suasana yang dihidangkan oleh kedai konsep ini,” ujarnya. 

Selain rekaan fesyen, pelbagai menu minuman edisi terhad turut diperkenalkan bersempena sambutan kebangsaan termasuk Iced Minty Coconut Latte dan Iced Minty Chocolate Frappe yang dilancarkan pada 29 Ogos lalu. 

Dua lagi menu baharu, Pandan Coconut Latte serta Mango Jasmine Frappe akan ditawarkan secara berperingkat sepanjang September di semua cawangan Luckin Coffee.

Stor Konsep Luckin Coffee x Fiziwoo dibuka kepada orang ramai di Aras 2, Pavilion Damansara Heights dari 7.30 pagi hingga 10 malam pada hari bekerja dan 10 pagi hingga 10 malam pada hujung minggu.-UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN