BERBEKALKAN pengalaman lebih sedekad dalam bidang perkhidmatan penerbangan dan minat mendalam terhadap masakan tradisi, Suryane Saidin atau mesra disapa Kak Suri, 45, kini bergelar usahawan makanan dengan menghasilkan produk sedia untuk dimakan (RTE) dan sedia untuk dimasak (RTC) di bawah jenama KASURYSH.
Antara produk yang ditawarkan termasuk sambal bilis, sambal bilis petai, sambal bilis petai tempoyak serta dendeng daging, yang mendapat sambutan pelanggan dalam dan luar negara.
Menurutnya, idea menghasilkan produk tersebut tercetus ketika masih bekerja di Malaysia Airlines, apabila melihat ramai penumpang ingin membawa pulang makanan tradisi seperti sambal, tetapi tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.
“Dari situ saya terfikir untuk mengeluarkan produk dengan teknik retort dan pembungkusan sesuai supaya orang Malaysia di luar negara atau pelancong dapat menikmati makanan tradisi seakan-akan air tangan ibu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, jenama itu mula diperkenalkan pada tahun 2023 selepas pandemik Covid-19, walaupun beliau sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak 2019.
Seperti kebanyakan usahawan, Kak Suri berdepan cabaran dalam memperkenalkan jenama baharu, apatah lagi ketika masih mencari rentak selepas pandemik.
“Modal awal saya sekitar RM13,500 untuk dendeng daging. Bermula dengan sistem pra tempahan, ada ketika orang sampai block media sosial saya kerana terlalu kerap promosi.
“Tambahan pula, ada kata-kata sinis daripada orang sekeliling yang memperlekeh usaha saya berhenti kerja syarikat besar untuk menjual makanan. Tetapi saya yakin rezeki berniaga itu luas,” katanya.
Dia mengakui modal besar diperlukan kerana produk yang dihasilkan memerlukan jangka hayat panjang, selain perlu dihantar ke kilang bagi menjaga kualiti.
“Dulu kami cuba jual sejuk beku, tetapi penghantaran ke Sabah dan Sarawak agak mencabar. Jadi saya pilih teknik retort supaya lebih praktikal,” katanya.
Mengakui perjalanan usahawan bukan mudah, Kak Suri memperkukuh strategi pemasaran digital melalui media sosial, e-dagang, selain menyertai pelbagai program keusahawanan anjuran agensi kerajaan.
“Saya buat live hampir setiap hari sambil uruskan sembilan orang anak. Kadang-kadang saya masak dan promosikan produk di hadapan rumah, ada pelanggan terus datang beli di situ.
“Reruai pameran juga penting untuk perkenalkan produk kepada lebih ramai orang. Alhamdulillah, dengan usaha itu saya layak menerima pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Nasional (Tekun) berjumlah RM8,000 selepas menunjukkan rekod transaksi jualan secara dalam talian,” katanya.
Dia juga pernah dibimbing di bawah beberapa agensi kerajaan termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan SME Corp. Malaysia, sekali gus memberi peluang mengembangkan jaringan perniagaan.
Lebih membanggakan, produk keluaran KASURYSH kini telah mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan terutama untuk menembusi pasaran lebih luas.
Tahun lalu sahaja, jenama Kak Suri mencatat jualan sekitar RM50,000 dan angka itu dijangka meningkat dengan pengenalan produk baharu.
Tidak mahu terhenti pada sambal dan dendeng sahaja, Kak Suri kini dalam proses mengeluarkan mi kuning buatan sendiri menggunakan mesin baharu yang diperoleh melalui geran agensi kerajaan.
“Saya jangka jualan akan bermula pada Oktober ini. Selain itu, saya juga merancang menambah variasi menu seperti rendang ayam,” katanya.
Beliau menegaskan mahu mengekalkan kawalan kualiti agar stok tidak berlebihan atau terjejas, sekali gus mengekalkan rating baik di platform e-dagang.
“Prinsip saya mudah, biar perniagaan berkembang secara konsisten dan berkualiti berbanding terlalu laju tetapi akhirnya tumbang,” katanya.
Berkongsi nasihat kepada usahawan lain, dia menekankan pentingnya kekuatan semangat dan keyakinan walaupun berdepan cabaran.
“Jangan takut dengan kata-kata orang. Bisnes memang penuh ujian, tetapi jika kita konsisten, rezeki akan datang,” katanya. – UTUSAN