Aplikasi BolehJe bantu pengguna jana pendapatan fleksibel - Utusan Malaysia

Aplikasi BolehJe bantu pengguna jana pendapatan fleksibel

LEE Miew Lan (enam dari kiri) dan Angeline Barron (empat dari kiri) bersama para jemputan ketika program komuniti tayangan filem istimewa sempena sambutan Hari Malaysia, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Exalumen Technologies membangunkan aplikasi BolehJe yang dapat membantu pengguna terutamanya golongan belia, pelajar dan pekerja bebas memperoleh pekerjaan untuk jangka pendek.

Ketua Pegawai Eksekutif Exalumen Technologies, Angeline Barron berkata, pembangunan aplikasi dengan kerjasama Innovestmy Sdn Bhd itu direka bagi membolehkan pengguna menjana pendapatan tambahan secara fleksibel.

“Aplikasi ini bukan sahaja menjadi medium untuk memperkasa ekonomi belia, malah membantu menghubungkan majikan dengan tenaga kerja dalam era ekonomi digital. Ia turut membuka ruang untuk syarikat atau individu yang memerlukan khidmat tenaga kerja, mengakses bakat tempatan dengan lebih mudah.

“Usaha ini seiring dengan misi Innovest dan Exalumen dalam memperkukuh daya saing masyarakat serta menyokong pertumbuhan ekonomi inklusif di Malaysia,” katanya.

Innovest dengan kerjasama Exalumen Technologies turut menganjurkan program komuniti dengan menjemput 30 orang kanak-kanak dari Lotus Charity Care Centre menonton tayangan filem istimewa sempena sambutan Hari Malaysia, baru-baru ini.

Inisiatif itu bertujuan meraikan anak-anak daripada pusat kebajikan tersebut untuk merasai pengalaman hiburan yang jarang mereka nikmati, sekali gus mengukuhkan semangat prihatin serta kepedulian sosial dalam kalangan syarikat korporat.

Pengarah Innovestmy, Lee Miew Lan berkata, Hari Malaysia bukan sekadar perayaan namun lambang kepada kekuatan dan keindahan sebuah negara yang dibina atas dasar kesepaduan.

“Kami percaya setiap kanak-kanak berhak diraikan dan diberi peluang untuk bergembira tanpa mengira latar belakang mereka sekali gus memberi inspirasi kepada pihaknya untuk terus menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif sosial,” katanya.

Sempena Hari Malaysia, kedua-dua syarikat berharap usaha kecil ini akan menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak korporat untuk berganding bahu dalam menyebarkan kebaikan kepada masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN