PETALING JAYA: Hong Leong Bank Berhad (HLB) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi kewangan yang menerajui inisiatif kelestarian apabila berjaya melangkaui sasaran awal pembiayaan mampan yang ditetapkan untuk tahun kewangan 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, bank itu telah menyalurkan RM4.2 bilion pembiayaan mampan setakat Jun 2025, sekali gus mengatasi sasaran tahunan yang ditetapkan dalam pelan lima tahun untuk memobilisasi RM20 bilion menjelang 2029.
“Kami berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran jangka sederhana, termasuk pengurangan 15 hingga 25 peratus pelepasan karbon Skop 1 dan 2 menjelang 2026 berbanding garis dasar pada 2019.
“Antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk penerbitan nota jangka sederhana hijau pertama bernilai RM500 juta pada September lalu, yang menjadi pemacu penting kepada strategi pembiayaan mampan bank berkenaan.
“Selain itu, HLB turut memperluaskan bengkel kesediaan ESG kepada pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bukan sahaja di Kuala Lumpur, malah meliputi Pulau Pinang, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam pengumuman prestasi kewangan bank itu.
Menurut Kevin, langkah itu memperkukuh peranan HLB sebagai rakan perbankan utama dalam memacu pengamalan ESG industri.
Dalam usaha memperluaskan asas pelepasan karbon, bank itu kini merangkumi kelas aset baharu meliputi ekuiti tersenarai, bon korporat, pembiayaan projek dan hartanah komersial menggunakan metodologi Partnership for Carbon Accounting Financials (PCAF).
Pendekatan ini membolehkan HLB mengenal pasti sektor berintensiti karbon tinggi dan merangka pelan nyah karbon yang lebih berfokus.
Dari aspek inovasi, HLB turut memperkenalkan cawangan digital baharu menerusi pembukaan Light Street Branch di Pulau Pinang pada Julai lalu yang mencatatkan pertumbuhan deposit 51 peratus, peningkatan deposit semasa dan simpanan (CASA) 55 peratus serta kenaikan pendapatan keseluruhan 13 peratus.
Mengulas prospek bagi tahun kewangan akan datang, Kevin berkata, bank itu menyasarkan pertumbuhan pinjaman antara enam hingga tujuh peratus, pulangan ke atas ekuiti (ROE) antara 11.5 hingga 12 peratus serta mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan sekitar 39 peratus.
“Kami kekal berdisiplin dalam pengurusan risiko kredit, mengekalkan kualiti aset yang kukuh serta memberi pulangan dividen yang baik kepada pemegang saham.
“Semua ini adalah sebahagian daripada pelan transformasi tiga hingga lima tahun yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan teras, perkongsian strategik serta disiplin operasi.
“Pelaburan dalam bakat, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) akan terus menjadi agenda utama pengurusan dalam memastikan bank itu berada di hadapan dalam landskap kewangan yang semakin mencabar,” ujarnya. – UTUSAN










