SEPANG: Emirates akan mula menggunakan pesawat Boeing 777 yang baru dipasang semula pada EK346 dan EK347 (penerbangan Kuala Lumpur-Dubai), selaras dengan komitmennya untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang konsisten dan dipertingkatkan untuk penumpang tiba dan datang ke Malaysia.
Pesawat yang baru dipasang itu menampilkan empat kabin yang diperbaharui, termasuk kelas ekonomi premiumnya yang kerap diiktiraf anugerah industri.
Kabin Ekonomi Premium Emirates akan memberi keselesaan penumpang yang beredar antara Kuala Lumpur dan Dubai menawarkan tempat duduk yang mewah, ruang kaki yang luas dan pengalaman menjamu selera yang unggul.
Dengan pengenalan Boeing 777 yang baharu dipasang semula, tawaran mercu ini kini tersedia di hampir 70 destinasi dalam rangkaian Emirates.
Pengurus Negara Emirates di Malaysia, Saeed Mubarak berkata, Malaysia merupakan salah satu pasaran utama untuk Emirates selama hampir tiga dekad.
“Kami berbangga menawar perkhidmatan Ekonomi Premium yang diperbaharui bersama dengan kabin kelas pertama, perniagaan dan ekonomi yang juga sama dipertingkatkan kepada penumpang kami.
“Perhiasan dalaman baharu kini menawar keselesaan dan pelbagai pilihan untuk menjamin pengalaman penumpang yang lancar dan konsisten, tanpa mengira pilihan kelas penerbangan.
“Pelaburan kami yang berterusan untuk peningkatan khidmat ini ketara membezakan kami dalam industri; dengan menakrif semula maksud perjalanan bagi berjuta-juta penumpang di seluruh dunia,” katanya dalam Majlis Pelancaran Kelas ekonomi premium Emirates di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Setakat ini, syarikat penerbangan Emirates telah menyelesaikan peningkatan pada 67 pesawat sebagai sebahagian daripada inisiatifnya yang bernilai berbilion dolar untuk membaik pulih sebanyak 219 pesawat.
Pengubahsuaian menyeluruh dari bahagian hadapan sehingga ke ekor pesawat ini mencerminkan komitmen Emirates untuk menyampaikan pengalaman perjalanan yang dipertingkatkan bagi keseluruhan armadanya.
Dengan ini, syarikat penerbangan kini mampu menawarkan hampir dua juta tempat duduk ekonomi premium setiap tahun di seluruh rangkaiannya menjelang akhir 2025, berganda kepada empat juta menjelang 2026.
Penumpang Ekonomi Premium juga bakal menikmati had elaun bagasi daftar masuk sebanyak 35 kilogram (kg) dan tambahan bagasi kabin 10kg
Pelanggan boleh menempah penerbangan ekonomi premium sekarang juga melalui emirates.com atau aplikasi Emirates. – UTUSAN