CLAB kukuh peranan urus pekerja asing sektor pembinaan

CLAB kukuh peranan urus pekerja asing sektor pembinaan

KETUA Pegawai Operasi CLAB, Datuk Abdul Rafik Abdul Rajis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB), anak syarikat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menyasarkan untuk memperkukuh peranan sebagai pusat sehenti pengurusan tenaga kerja asing dalam sektor pembinaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Operasi CLAB, Datuk Abdul Rafik Abdul Rajis berkata, pihaknya berhasrat membangunkan pangkalan data holistik yang khusus bagi merekodkan keberadaan dan kemahiran pekerja asing, sekali gus memastikan pengurusan tenaga kerja lebih sistematik.

“Harapan saya dalam masa lima tahun akan datang ialah kita mempunyai satu pangkalan data yang menyeluruh khusus untuk CLAB.

“Buat masa ini, bagi permohonan pekerja asing kurang daripada 100 orang, majikan diwajibkan melalui CLAB. 

“Dengan pengalaman lebih 20 tahun mengurus hampir 250,000 pekerja asing, kami yakin dapat melaksanakan peranan lebih besar dalam tempoh tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurut Abdul Rafik, CLAB melihat keperluan supaya pengambilan pekerja asing sektor pembinaan dapat diuruskan sepenuhnya oleh agensi itu, seperti pernah dicadangkan pada 2020.

“Saya berharap dengan sokongan kerajaan Madani dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), cadangan supaya pengambilan pekerja asing dalam sektor pembinaan dikendalikan sepenuhnya oleh CLAB dapat dipertimbangkan,” jelasnya.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan hanya pekerja sah berada di tapak bina, selain mengurangkan lambakan pekerja asing yang tidak lagi aktif dalam industri.

“Sebagai contoh, analisis kami bersama Kementerian Dalam Negeri mendapati seramai 100,646 pekerja asing yang memiliki pas lawatan kerja sementara sebenarnya tidak berada dalam sektor pembinaan.

“Dengan pengurusan yang lebih tersusun, kita boleh mengenal pasti pekerja yang benar-benar berada di tapak bina dan kemas kini data mereka secara berterusan,” katanya.

Tambah beliau, sasaran CLAB ialah memastikan semua pihak dalam industri termasuk kontraktor mempunyai akses kepada data tenaga kerja yang lengkap, membolehkan perancangan lebih tepat dibuat terhadap keperluan pekerja mengikut kemahiran.

“Daripada kira-kira 500,000 pekerja asing dalam negara, kita akan dapat mengenal pasti secara jelas kumpulan pekerja mahir seperti tukang kayu, besi atau lain-lain bidang. 

“Maklumat ini penting untuk memastikan setiap projek mendapat tenaga kerja yang sesuai dan mengurangkan kebergantungan kepada kemasukan baharu secara besar-besaran.

“Prospek CLAB bukan sekadar melaksanakan Site Attendance System (SAS) melalui Kad Hijau, tetapi memperkukuh ekosistem tenaga kerja melalui akreditasi kemahiran, pemantauan keberadaan serta memastikan kebajikan pekerja asing dan majikan terus terpelihara,” tambahnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN