CIMB terbit laporan alam semula jadi, biodiversiti pertama

CIMB terbit laporan alam semula jadi, biodiversiti pertama

NOVAN AMIRUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad muncul sebagai bank pertama di Malaysia yang menerbitkan laporan alam semula jadi dan biodiversiti, menandakan langkah penting dalam usaha mengarusperdanakan pertimbangan alam sekitar dalam sektor kewangan.

Laporan bertajuk Banking on Nature: Advancing Our Nature Journey itu menumpukan kepada pengurusan risiko dan peluang kewangan yang berkait rapat dengan alam semula jadi, khususnya dalam empat sektor utama yang paling terdedah iaitu sawit, perhutanan, tenaga dan minyak dan gas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, laporan ini bertujuan membantu perniagaan memahami risiko berkaitan alam semula jadi dan mencari penyelesaian positif yang mampan.

“Dengan memposisikan alam sebagai risiko dan peluang, CIMB berperanan sebagai pemacu dalam pembiayaan mampan yang menyokong keselamatan makanan dan air serta peralihan ekonomi ASEAN ke arah rendah karbon dan positif alam sekitar,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan CIMB, Luanne Sieh menegaskan kehilangan biodiversiti kini menjadi risiko kewangan yang ketara.

“Laporan ini membolehkan pelanggan kami mengenal pasti dan mengurus pendedahan kepada risiko semula jadi serta membuka peluang nilai jangka panjang dalam rantaian nilai mereka,” katanya.

Laporan tersebut turut melengkapi komitmen iklim CIMB dengan mengenal pasti peluang pembiayaan dalam sektor seperti pertanian regeneratif, pemuliharaan hutan bakau, penggunaan tanah lestari dan perlindungan kawasan tadahan air yang juga berpotensi menjana kredit karbon berintegriti tinggi.

Inisiatif ini juga selari dengan gerak kerja Bank Negara Malaysia (BNM) yang telah memulakan projek perintis TNFD LEAP serta jangkaan keperluan pendedahan ISSB S3 berkaitan biodiversiti dan ekosistem.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, sebagai pelabur jangka panjang, pihaknya melihat risiko dan peluang berkaitan alam semula jadi sebagai penting untuk daya tahan dan pulangan portfolio.

Penerbitan laporan ini meletakkan CIMB dalam kalangan institusi kewangan terawal di rantau ASEAN yang mengadaptasi kerangka global berkaitan alam sekitar ke dalam strategi kewangan secara praktikal.

Laporan penuh boleh dimuat turun melalui laman khas CIMB www.cimb.com/nature-and-biodiversity. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN