PETALING JAYA: CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) melancarkan Program Jangkauan Komuniti PKS (SCOP) di Sarawak dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), dengan komitmen RM500 juta dalam kemudahan pembiayaan menjelang 2028.
Menurut kenyataannya, melalui SCOP, komitmen utama yang sejajar dengan cadangan CIMB SMEBizReady, bank menyasarkan untuk menyokong keperluan unik dan peluang pertumbuhan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Sarawak.
Ini melalui menyediakan pandangan pasaran yang tepat pada masanya dan penyelesaian kewangan yang disesuaikan sambil memupuk perkongsian strategik dengan agensi kerajaan, pemain industri dan penyedia teknologi untuk memacu pendigitalan dan pertumbuhan mampan.
Timbalan Premier Sarawak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelbagai inisiatif telah diterajui oleh MINTRED untuk mengukuhkan PKS di Sarawak, daripada pinjaman mudah dan skim kredit mikro kepada program pendigitalan dan ekspo perdagangan antarabangsa.
Katanya, pelaburan Sarawak yang diluluskan melebihi RM102 bilion sejak 2021 telah membuka peluang besar kepada PKS dalam industri sokongan.
“Apabila PKS berkembang maju, mereka menjadi tulang belakang ekonomi kita dengan menarik pelaburan, memacu eksport dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.
“Pelaburan ini, seterusnya mengubah landskap ekonomi, memacu kemajuan teknologi dan memastikan kemakmuran dikongsi secara inklusif di seluruh Sarawak,” katanya dalam ucapan semasa pelancaran tersebut.
Yang turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datuk Ismawi Ismuni dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff.
Acara itu mengumpulkan 200 usahawan PKS, pemilik perniagaan dan pemain industri yang berpangkalan di Sarawak untuk perkongsian pengetahuan, rangkaian perniagaan dan pembinaan kapasiti.
Sementara itu, Ahmad Shahriman berkata, kehadiran CIMB yang sekian lama di Sarawak mengukuhkan komitmen untuk memajukan pelanggan dan masyarakat, membantu PKS membina ekonomi yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan melalui program SMEBizReady.
Katanya, dengan SCOP dan komitmen sebanyak RM500 juta dalam pembiayaan untuk mempercepatkan pertumbuhan PKS di Sarawak menjelang 2028, CIMB menyasarkan untuk membolehkan perniagaan menangkap peluang dalam pendigitalan, automasi dan kemampanan. – UTUSAN