Cara-cara untuk mengamalkan kehidupan lebih lestari

Cara-cara untuk mengamalkan kehidupan lebih lestari

PEMASANGAN panel solar boleh menggalakkan penggunaan tenaga bersih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia yang semakin terkesan dengan perubahan iklim, setiap individu memainkan peranan penting untuk menjaga alam sekitar. 

Mengamalkan hidup lestari bukan bermaksud perlu mengubah seluruh gaya hidup sekali gus, tetapi bermula dengan langkah kecil yang konsisten dari cara kita menggunakan tenaga, memilih makanan, sehinggalah kepada cara kita bergerak setiap hari. 

Minggu ini, Ringgit berkongsi idea mudah dan praktikal untuk membantu kita menjalani kehidupan yang lebih mesra alam, sambil memastikan kesejahteraan generasi akan datang.

  1. Kurangkan, guna semula dan kitar semula (3R)

Elakkan pembaziran dalam kehidupan harian dengan hanya membeli barangan atau perkhidmatan yang diperlukan sahaja.

Selain itu, anda boleh guna semula bekas, botol minuman serta menggunakan beg sendiri ketika membeli barangan di pasar raya.

Amalkan kitar semula bagi produk seperti plastik, kertas, aluminium, kaca di pusat kitar semula.

  1. Bijak tenaga

Pastikan suis peralatan elektrik dan lampu dimatikan bila tidak digunakan semasa di rumah. 

Gunakan peralatan elektrik seperti peti sejuk dan pendingin hawa yang berlabel lima bintang kerana ia lebih cekap tenaga.

Selain itu, ia juga dapat mengurangkan bil elektrik anda.

Pengguna juga boleh memasang panel solar jika mampu untuk jana tenaga bersih.

  1. Kurangkan penggunaan air

Tutup paip air dengan betul dan pastikan supaya tidak ada kebocoran yang boleh menyebabkan pembaziran bukan sahaja air tetapi juga meningkatkan bil bulanan.

Elakkan membiarkan paip terbuka ketika menggosok gigi.

  1. Pengangkutan hijau

Gunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja atau carpool bersama rakan bila mahu ke destinasi yang sama. 

Jika mampu, pilih kenderaan elektrik atau hibrid yang lebih mesra alam.

Selain itu, anda boleh jalan kaki untuk perjalanan dekat seperti ke kedai yang berhampiran rumah.

Ia bukan sahaja baik untuk bumi, malah bagus untuk kesihatan.

  1. Tanam dan hijaukan ruang

Tanam pokok di halaman atau balkoni yang boleh membantu serap karbon dan sejukkan persekitaran.

Sokong projek komuniti hijau atau urban farming di kawasan kejiranan anda jika ada.

  1. Sokong produk dan gaya hidup hijau

Ketika membuat pembelian, anda boleh memilih produk dengan label eco-friendly atau fair trade.

Selain itu, anda juga boleh menyokong jenama tempatan yang mengamalkan kelestarian.

Kurangkan membeli pakaian dari rangkaian fast fashion, sebaliknya, pilih pakaian berkualiti dan tahan lama.

Anda juga boleh membeli pakaian terpakai atau bundle yang bukan sahaja lebih murah tetapi juga membantu dari segi guna semula.

  1. Gaya hidup digital

Kurangkan penggunaan kertas, sebaliknya guna e-bill, e-receipt dan nota digital.

Padam emel atau fail yang tidak perlu kerana pusat data juga guna tenaga besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN