PETALING JAYA: Bursa Malaysia mendahului bursa-bursa negara ASEAN dari segi bilangan penyenaraian, jumlah permodalan pasaran serta kutipan dana dengan 32 syarikat disenaraikan bernilai kira-kira RM17.4 bilion.
Dana tawaran awam permulaan (IPO) mencecah RM4 bilion bagi tempoh separuh pertama 2025.
Bursa Malaysia berkata, pasaran saham tempatan terus mencatat prestasi cemerlang apabila merekodkan 39 penyenaraian baharu setakat 29 Ogos, meningkat 22 peratus berbanding 32 penyenaraian dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, pasaran IPO kekal rancak, disokong asas ekonomi yang kukuh dan hala tuju dasar kerajaan yang jelas.
“Setakat Ogos, empat IPO berskala besar dilaksanakan dengan setiap satu mencatat permodalan melebihi RM1 bilion, manakala penyenaraian terbesar ialah Eco-Shop Marketing Bhd. dengan nilai pasaran sekitar RM6.5 bilion.
“Selain sektor tradisional, syarikat Bumiputera semakin menyerlah dalam bidang teknologi boleh diperbaharui, telekomunikasi dan perisian.
“Sejak tahun lalu, Azam Jaya Bhd. dan Enproserve Group Bhd. diniagakan melebihi harga tawaran awal meskipun pasaran global berdepan ketidaktentuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bursa Malaysia menegaskan peranannya bukan sekadar platform pengumpulan modal tetapi turut menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Selari agenda pembangunan nasional, Bursa Malaysia menyasarkan lebih banyak penyenaraian berimpak tinggi melalui pelan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Strategi Semikonduktor Negara (NSS).
“Institusi pelaburan tempatan juga kekal pemangkin utama dengan Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan institusi Bumiputera lain kerap muncul sebagai pelabur utama dalam IPO besar.
“PNB menerusi program GEAR-UP diberi mandat memacu inisiatif “Bumiputera Relay Race” bagi mempersiapkan 10 syarikat ke arah penyenaraian,” katanya.
Selain itu, Program BRAVE dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 turut menyokong penskalaan syarikat ke pasaran modal.
Mengulas lanjut, Bursa Malaysia berkata, keperluan pemilikan ekuiti Bumiputera 30 peratus yang dimansuhkan pada 2009 kini diganti syarat lebih fleksibel oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Jelasnya, ia sebagai sebahagian daripada penyahayaturan utama untuk menjadikan Malaysia lebih beraya saing dan menarik kepada pelaburan asing.
“Bagi Pasaran Utama, 12.5 peratus daripada jumlah saham terbitan mesti diperuntukkan kepada pelabur bumiputera yang diiktiraf, manakala sekurang-kurangnya separuh saham yang ditawarkan kepada awam melalui undian disediakan kepada pelabur bumiputera.
“Keperluan ini tidak terpakai bagi penyenaraian tanpa tawaran awam melalui undian, termasuk tawaran terhad untuk jualan atau pengagihan khusus kepada pemegang saham sedia ada.
“Selain itu, bagi Pasaran ACE, syarikat diwajibkan memperuntukkan 12.5 peratus saham kepada pelabur bumiputera dalam tempoh tertentu selepas memenuhi kriteria keuntungan atau selepas penyenaraian, mengikut mana yang lebih awal,” ujarnya. -UTUSAN