PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) jalin kerjasama strategik dengan TASConnect, sebuah platform pembiayaan rantaian bekalan digital terkemuka bagi menyediakan penyelesaian pembiayaan yang lebih baik dan mudah diakses untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh Malaysia.
Melalui kerjasama ini, PKS kini boleh mengakses modal kerja dengan lebih mudah, kelulusan yang lebih pantas, terma pembiayaan yang dipertingkatkan serta pengurangan kebergantungan kepada cagaran yang berat.
Dengan penggunaan platform TASConnect, Bank Muamalat dapat memberikan kelulusan pembiayaan yang lebih cepat, ketelusan yang lebih tinggi, serta pengagihan dana yang lebih efisien sekali gus mempercepatkan proses pembiayaan PKS.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin berkata, pihaknya melihat PKS bukan sahaja sebagai penyumbang kepada ekonomi, tetapi juga sebagai pemacu utama transformasi digital Malaysia dan daya saing masa depan negara.
Katanya, akses kepada modal kerja sering kali menjadi jambatan antara kelangsungan dan perkembangan sesebuah perniagaan.
“Kerjasama dengan TASConnect ini menyediakan jambatan tersebut yang disampaikan dengan lebih pantas, mudah dan patuh syariah,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Eksekutif Negara dan Ketua Jualan Serantau TASConnect Malaysia, Tse Ning Chan berkata, pengenalan GSM3 merupakan rangsangan tepat pada masanya untuk PKS yang sedang mencari pembiayaan boleh dipercayai dalam iklim perniagaan yang mencabar hari ini.
“Kerjasama kami dengan Bank Muamalat akan membantu PKS mengukuhkan aliran tunai mereka dan merebut peluang baharu, manakala jaminan SJPP mengurangkan risiko kepada pihak pembiaya,” katanya.
Dengan sokongan Skim Jaminan Kerajaan Madani untuk PKS (GGSM) yang dikendalikan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), pendedahan risiko bank dapat dikurangkan, membolehkan pembiayaan diberikan kepada lebih banyak segmen PKS.
Kerjasama ini mengukuhkan lagi kedudukan Bank Muamalat sebagai satu daripada bank Islam terkemuka di Malaysia dan membuktikan komitmen teguh bank terhadap agenda negara dalam menyokong PKS serta merangsang pemulihan ekonomi.
Dengan menggabungkan penyelesaian digital inovatif dan pembiayaan patuh syariah, Bank Muamalat menunjukkan pemahaman mendalam terhadap keperluan pelanggannya dan secara aktif menyediakan penyelesaian yang menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi serta pertumbuhan mampan.
Satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani bagi memeterai kerjasama ini.
Bermula serta-merta, PKS yang layak di seluruh negara boleh memohon pembiayaan melalui platform TASConnect, sekali gus menghapuskan halangan geografi dan memastikan akses kepada modal secara adil dan menyeluruh.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari www.muamalat.com.my atau menghubungi pusat khidmat pelanggan di 0326005500. – UTUSAN