Australia komited perkukuh hubungan ekonomi serantau dengan Asia Tenggara

Australia komited perkukuh hubungan ekonomi serantau dengan Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Australia menyatakan komitmen teguh untuk memperkukuhkan hubungan ekonomi dengan negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dalam usaha menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang semakin mencabar.

Menteri Perdagangan dan Pelaburan Australia, Senator The Hon Don Farrell berkata, perjumpaan seumpama ini sebagai “sangat indah” dan penuh makna, mencerminkan kerjasama yang semakin erat antara kedua-dua pihak.

“Australia amat menghargai hubungan kami dengan Malaysia dan ASEAN. 

“Dalam dunia yang sedang berubah ini, kami percaya kita boleh lakukan lebih banyak bersama rakan-rakan di Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Jamuan Tengah hari sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi Sidang Kemuncak Asia Timur ke-13 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Don Farrell berkata, Australia kini giat menyalurkan lebih banyak pelaburan dan sumber untuk membina hubungan ekonomi yang mampan di rantau ini, sekaligus menandakan perubahan pendekatan daripada hanya hubungan diplomatik kepada keterlibatan ekonomi yang lebih konkrit dan berskala besar.

“Kami tidak lagi sekadar ‘terbang’ ke Asia Tenggara untuk lawatan. 

“Kini, kami melabur secara aktif untuk memperkukuh hubungan ekonomi serantau,” katanya.

Menurut beliau, Australia dijangka memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor strategik termasuk tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital, perdagangan dua hala dan pembangunan kemahiran tenaga kerja sejajar dengan keperluan ekonomi masa hadapan.

Don Farrell turut berkongsi hubungan peribadi beliau dengan Asia Tenggara, mendedahkan isterinya berasal dari Filipina dan beliau merupakan satu-satunya ahli keluarga yang tidak berasal dari rantau ini. 

Beliau juga menyatakan kekaguman terhadap usaha negara-negara ASEAN dalam membangunkan kemanusiaan dan kesejahteraan rakyat masing-masing.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN