ASNB umum agihan pendapatan 4.75 sen seunit untuk ASM 3 - Utusan Malaysia

ASNB umum agihan pendapatan 4.75 sen seunit untuk ASM 3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 4.75 sen seunit kepada pemegang unit dana harga tetapnya, Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu berkata, pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM896.01 juta yang akan memanfaatkan 717,446 pemegang unit yang kini memiliki 19.16 bilion unit.

Katanya, pengagihan sebanyak 4.75 sen seunit itu mengekalkan kadar dividen sama seperti tahun lalu, sekali gus mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dana kendalian ASNB.

“ASM 3 juga merekodkan pencapaian lebih baik berbanding penanda aras pulangan Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada kadar 2.40 peratus, dengan lebihan sebanyak 235 mata asas setakat 24 September 2025.

“Prestasi kukuh ini amat ketara di sebalik keadaan pasaran domestik yang masih lemah, dengan FBM KLCI mencatatkan pulangan negatif sepanjang tahun ini. ASM 3 kekal berdaya tahan dan terus memberikan pulangan yang konsisten.

“Pendapatan ASM 3 bagi tahun kewangan ini diperoleh daripada keuntungan direalisasikan, dividen serta sumber lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa,” menurut kenyataan.

Menurut ASNB, kejayaan dana tersebut didorong oleh pendekatan pelaburan berdisiplin, pempelbagaian aset, serta peningkatan pendedahan kepada instrumen pendapatan tetap yang menawarkan kestabilan.

“Peruntukan strategik ke pasaran global turut menyokong pertumbuhan portfolio. Bagi tujuan pelaksanaan, pengiraan pengagihan adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang pemegang unit sepanjang tahun kewangan.

“Semua pengagihan akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Oktober 2025,” katanya.

Sehubungan itu, urus niaga ASM 3 di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk saluran dalam talian serta perbankan internet, ditangguhkan dari 28 hingga 30 September, sebelum dibuka semula pada 1 Oktober 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN