KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menyasarkan sebanyak 8,000 pendaftaran jemaah umrah sempena Matta Fair September ini hasil kerjasama strategik dengan Saudia Airlines.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, sasaran itu didorong oleh pengalaman lebih empat dekad syarikat dalam industri serta permintaan berterusan terhadap pakej umrah berkualiti pada harga kompetitif.
Jelasnya, untuk musim 1448 Hijrah, Andalusia menawarkan pakej bermula daripada RM7,490 seorang bagi penginapan bilik berempat atau berlima dengan penerbangan Saudia.
“Sempena Matta Fair Andalusia pada 5 hingga 7 September ini, kami menawarkan diskaun khas RM200 menjadikan harga pakej serendah RM7,290.
“Pada Matta Fair April lalu, kami berjaya mengumpul lebih 6,000 jemaah. Dengan tawaran baharu serta kerjasama erat bersama Saudia, kami yakin mampu mencapai 8,000 pendaftaran,” katanya pada sidang media pengumuman Pakej Umrah Musim 1448 Hijrah Penerbangan Saudia di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), hari ini.
Md. Daud berkata, pakej promosi itu meliputi musim selepas haji, awal Muharam serta bulan Maulidur Rasul yang dijadualkan berlangsung antara Jun hingga Oktober 2026.
Selain harga kompetitif, Andalusia menawarkan penginapan berhampiran Masjidil Haram seperti di Olayan Al Haram, Malak Ajyad, Elaf Al Khair dan Emaar Sultan, manakala di Madinah jemaah ditempatkan di Hayah Plaza serta Qasr Al Ansar.
Saudia pula menyediakan kemudahan penerbangan dengan ruang tempat duduk ekonomi lebih luas dan ruang solat dalam pesawat bagi keselesaan penumpang.
Dalam masa sama, Andalusia turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan tawaran harga tidak munasabah daripada pihak tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan nama baik pengendali berlesen.-UTUSAN