PETALING JAYA: Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) terus mengukuhkan reputasi sebagai entiti korporat bertanggungjawab apabila tersenarai dalam 50 Syarikat Awam Tersenarai (PLC) Terbaik ASEAN bagi Tadbir Urus Korporat.
Pengiktirafan itu diperoleh menerusi penilaian berprestij Skor Kad Tadbir Urus Korporat ASEAN (ACGS) 2024 yang melibatkan 569 syarikat berkapitalisasi besar dari seluruh rantau.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sean Wang berkata, pencapaian tersebut membuktikan komitmen syarikat dalam menegakkan piawaian tertinggi tadbir urus korporat di peringkat serantau.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja menyerlahkan kepimpinan kami dalam amalan tadbir urus, malah mengukuhkan peranan Allianz Malaysia sebagai entiti korporat yang dipercayai di ASEAN,” katanya dalam kenyataan.
Anugerah itu telah disampaikan secara rasmi kepada Allianz Malaysia semasa Persidangan dan Anugerah Tadbir Urus Korporat ASEAN 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Julai lalu.
ACGS merupakan inisiatif serantau yang bertujuan mengiktiraf PLC yang menunjukkan amalan tadbir urus korporat cemerlang, di samping memperkukuh penglibatan syarikat Asia Tenggara di peringkat global. – UTUSAN