5,000 paket Enegel terjual tiga bulan pertama

5,000 paket Enegel terjual tiga bulan pertama

NAIM Jaafar (kiri) dan Zainal Abidin Hassan Mohd. Ali menunjukkan produk gel tenaga, Enegel keluaran syarikat mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Brave Fronting Sdn. Bhd. (Brave Fronting) mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran apabila  gel tenaga keluarannya, Enegel menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Enegel yang dihasilkan oleh syarikat bumiputera tersebut sudah berada di pasaran sejak penghujung Mei lalu.

Pengarah Urusan Brave Fronting, Naim Jaafar berkata, sejak berada selama tiga bulan dalam pasaran, sebanyak 5,000 paket Enegel berjaya dijual di platform dalam talian Shopee dan TikTok.

“Enegel dijual pada harga RM89 sekotak yang mempunyai 12 paket atau RM8.90 sepaket. Kami menyasarkan peningkatan jumlah jualan sebanyak 20 peratus setiap bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, pihaknya mengambil masa kira-kira setahun pada 2024 untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk mengujinya pada atlet-atlet amatur sebelum dikomersialkan.

Jelasnya, kebanyakan produk untuk merangsang tenaga sedia ada di pasaran datang dari luar negara yang mempunyai campuran lemak haiwan.

“Produk kami adalah berasaskan sayur-sayuran, ekstrak buah-buah-buahan dan bijirin. Kami pilih bahan-bahan terbaik yang diuji di dalam makmal.

“Kebanyakan gel tenaga menggunakan biji kopi untuk atlet memberikan fokus semasa bersukan tapi tidak semua atlet boleh menyesuaikan diri kerana ia boleh menyebabkan rasa mual. 

“Justeru, kami menggantikannya dengan guarana yang sama fungsi tapi lebih ringan rasa daripada kopi. Kami juga masukkan L-Carnitine dalam Enegel yang boleh menukar lemak menjadi tenaga. Juga ada bijirin Dextrose dan Maltodextrin untuk tujuan sama,” ujarnya.

Selain itu, Enegel ada nilai tambah iaitu vitamin-vitamin B2, B3, B5, B6 dab B12 yang berfungsi menukar makanan menjadi tenaga, juga sokongan pemulihan otot yang dapat membantu mengurangkan kesakitan sekali gus mempercepatkan pemulihan selepas aktiviti fizikal.

Enegel juga bukan sekadar memberi tenaga tambahan tetapi ia mempunyai nutrisi yang lengkap untuk seseorang atlet. 

Ia boleh diambil sebelum bersukan, semasa bersukan mahupun selepas bersukan dan didatangkan dalam dua perisa iaitu oren dan campuran beri. 

Ditanya mengenai perancangan masa depan syarikat berkenaan, Naim berkata, pihaknya sedang membuat R&D bagi mengeluarkan perisa baharu Enegel, selain mahu menghasilkan minuman isotonik.

Ujarnya, pihaknya dalam proses untuk berpindah ke premis kekal di Lembah Klang pada penghujung tahun ini selain berhasrat membuka cawangan di Utara Semenanjung.

Sementara itu, bekas jurulatih dan pemain bola sepak kebangsaan yang juga Penasihat Brave Fronting, Datuk Zainal Abidin Hassan Mohd. Ali berkata, Enegel kini menjadi penaja pasukan Kelab Bola Sepak Imigresen (IFC) I di Liga Super dan IFC II di Liga A1 Semi Pro bagi sesi 2025/2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN