13 syarikat Malaysia catat jualan lebih RM125 juta dalam EAM

13 syarikat Malaysia catat jualan lebih RM125 juta dalam EAM

REEZAL Merican Naina Merican (depan, dua dari kanan) pada Seminar Perniagaan di Johannesburg, Afrika Selatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 13 syarikat Malaysia dari pelbagai sektor mencapai kejayaan memberangsangkan dengan jumlah jualan melebihi RM125 juta, termasuk RM13.6 juta dalam jualan sebenar dalam Misi Pecutan Eksport (EAM) ke Afrika Selatan dan Kenya dari 1 hingga 5 September 2025.

Ia merupakan kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan SME Bank Malaysia. 

Menurutnya, 13 syarikat Malaysia tersebut mewakili sektor utama dengan potensi eksport tinggi, antaranya peralatan dan peranti perubatan, farmaseutikal, produk kosmetik dan kecantikan serta produk makanan dan minuman halal.

Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, inisiatif itu adalah komponen penting dalam strategi pengembangan pasaran kerajaan untuk meluaskan jejak eksport Malaysia.

“Ini setelah menyedari potensi ekonomi tinggi Afrika dan peranannya sebagai pasaran baharu yang penting untuk produk serta perkhidmatan Malaysia.

“Prestasi cemerlang syarikat kita adalah bukti permintaan tinggi terhadap produk dan perkhidmatan berkualiti Malaysia di pasaran Afrika. 

“Matrade bersama SME Bank komited untuk mewujudkan platform penting ini bagi syarikat Malaysia terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan peluang perniagaan baharu dan mengembangkan jejak global mereka. 

“Dengan populasi 1.5 bilion, Afrika adalah pasaran yang sangat berpotensi dan misi ini merupakan langkah signifikan dalam mengukuhkan hubungan perdagangan dan kehadiran ekonomi Malaysia di benua tersebut,” katanya dalam kenyataan. 

Matrade telah menganjurkan sebanyak 240 sesi padanan perniagaan bagi syarikat Malaysia yang melibatkan 128 pembeli dari Afrika Selatan dan Kenya.

Sementara ito, Ketua Pegawai Strategi Korporat SME Bank, Datuk Wira Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, kerjasama dengan Matrade mencerminkan komitmen SME Bank untuk membantu pengeksport Malaysia berjaya di peringkat global. 

“Dengan menyokong aktiviti eksport, kita mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang yang dipercayai. SME Bank berbangga dapat memacu agenda nasional dengan sokongan Matrade.

“Sejak 2005, kami telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM48 bilion kepada hampir 25,000 PKS. 

“Selain pembiayaan, melalui cawangan pembangunan kapasiti dan latihan khusus kami, Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Keusahawanan (CEDAR) telah menyokong kira-kira 88,000 usahawan di seluruh negara,” ujarnya.

Misi itu turut melibatkan pertemuan dengan beberapa agensi kerajaan Afrika Selatan dan Kenya serta dewan perniagaan asing, antaranya Jabatan Perdagangan, Industri dan Persaingan (DTIC), Afrika Selatan, Dewan Perdagangan dan Perindustrian Afrika Selatan (SACCI) dan Pesatuan Perniagaan Afrika Selatan (BUSA). 

Ia turut melibatkan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Minara, Pihak Berkuasa Halaal Kebangsaan Afrika Selatan (SANHA), Agensi Promosi dan Penjenamaan Eksport Kenya (KEPROBA) serta Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kebangsaan Kenya (KNCCI) dan Biro Pensijilan Halaal Kenya (KBHC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN