KUALA LUMPUR: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama ITTV Education Sdn. Bhd. meluncurkan Waqf Go Learning, sebuah platform pembelajaran digital berasaskan wakaf pertama di Malaysia bagi memperluas akses pendidikan berkualiti kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Waqf Go Leaming membuktikan bahawa wakaf tidak lagi terhad kepada tanah dan bangunan semata-mata, tetapi berevolusi merangkumi teknologi, data dan platform digital.
“Ini adalah bukti bahawa institusi agama turut memimpin agenda digital secara inklusif dan bernilai, selari dengan aspirasi Malaysia Madani dan agenda Islam Mekar di bumi Malaysia,” katanya semasa Majlis Peluncuran Waqf Go Learning di sini, semalam.
Platform itu dibina terutamanya bagi kalangan keluarga B40 dan golongan asnaf dan menawarkan lebih 3,000 video pembelajaran selaras dengan silibus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta ciri-ciri tambahan seperti kuiz interaktif, forum tutor, papan pemuka pembelajaran, sistem pemantauan ibu bapa, chatbot Al dan webinar langsung.
Semua ciri pembelajaran boleh diakses dengan bayaran langganan yang sangat rendah berbanding harga pasaran, di mana hanya RM15 sekolah rendah (tahun empat hingga lima), RM20 untuk menengah rendah dan RM45 bagi menengah atas
Menurutnya, usaha itu seiring dengan gagasan Malaysia Madabu yang menekankan nilai ilmu, kesejahteraan dan keadilan sosial.
Katanya, ini akan memperkasakan pelajar kurang berkemampuan dengan akses pendidikan berkualiti dan kemahiran abad ke-21.
“Inisiatif ini juga menyokong Pelan Transformasi Al-Falah yang saya perkenalkan menerusi Strategi Digitalisasi Perkhidmatan Agama Islam dan menjadi bukti bahawa institusi agama turut memimpin agenda digital secara inklusif dan bernilai.
“Malah, ia selari dengan agenda Islam Mekar di Bumi Malaysia iaitu satu pendekatan Islam yang membina harapan, menjunjung ilmu, mengasah potensi insan dan mengaplikasikan teknologi untuk kesejahteraan semua,” ujarnya.
YWM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif ITTV Education Sdn. Bhd., Boon Tan yang telah mewakafkan sepenuhnya platform pembelajaran digital berjenama Waqf Go Learning (golearning.ywm.gov.my) kepada YWM.
Menariknya, 10 peratus daripada kutipan langganan platform ini akan disalurkan semula kepada YWM sebagai dana wakaf, sekali gus menjadikan model ini lebih lestari dan berimpak jangka panjang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Ridzwan Bakar berkata, sebagai permulaan 1,000 pelajar terawal ditawarkan akses percuma ke portal Waqf Go Learning bermula hari ini, terbuka kepada pelajar daripada darjah empat hingga tingkatan lima.
“Waqf Go Learning bukan sekadar platform digital, ia adalah sistem sokongan pendidikan negara yang digerakkan melalui wakaf.
“la membolehkan masyarakat menyumbang secara tersusun dan berstrategi kepada pembangunan modal insan menerusi instrumen yang telus dan mampan,” katanya.
Pada masa hadapan, YWM turut merancang memperluaskan capaian platform ini kepada pelajar tahfiz, orang kurang upaya (OKU) dan memperkenalkan modul Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bimbingan kerjaya secara digital sebagai persediaan tenaga kerja masa depan. – UTUSAN










