Tiga Beradik lebarkan sayap Bienz, sasar 10 cawangan dalam tempoh 3 tahun

Tiga Beradik lebarkan sayap Bienz, sasar 10 cawangan dalam tempoh 3 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA daripada minat keluarga terhadap kopi dan makanan, tiga beradik bersama bapa mereka kini mengusahakan jenama makanan dan minuman (F&B), Bienz, dengan sasaran membuka sekurang-kurangnya 10 cawangan dalam tempoh tiga tahun.

Pengasas Bersama Bienz.kl Sdn. Bhd., Raffzan Jamir berkata, lima cawangan dirancang di Lembah Klang manakala selebihnya akan dibuka di Perak, Johor, Melaka dan Kuantan.

Bagaimanapun katanya, Sabah dan Sarawak masih belum dalam perancangan kerana memerlukan persediaan logistik lebih rapi.

“Sekarang kami sedang mencari lokasi sesuai untuk kedai baharu. Bagaimanapun, kami telah membuka sebuah dapur pusat di Kuala Lumpur bagi memastikan setiap cawangan mengekalkan kualiti makanan sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, modal permulaan untuk cawangan pertama di Wangsa Maju, Kuala Lumpur berjumlah sekitar RM400,000 termasuk kos dapur, ubah suai dan kerja rekaan dalaman yang dibuat sendiri.

Bienz kini menawarkan perkhidmatan makan di premis, tempahan melalui Grab serta penghantaran menggunakan Lalamove.

“Selain itu, cawangan sedia ada sedang dalam proses mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Walaupun begitu, semua bahan digunakan adalah halal dan dititikberatkan oleh ayah kami, Ridzuan Abdullah yang juga bekas chef, manakala adik bongsu, Razdan Fiqrul Jamir yang membuat pizza adalah seorang imam,” jelasnya.

 

Sejak setahun lalu, jenama itu beberapa kali mencuri perhatian pengguna media sosial sehingga memberi impak positif terhadap pertumbuhan perniagaan.

“Alhamdulillah, kami pernah tiga kali tular di media sosial. Ia bermula dengan hantaran adik saya di salah satu platform, kemudian seorang rakan yang terkenal datang mencuba makanan kami dan berkongsi pengalamannya.

“Selain itu, video masakan daging yang kami muat naik di media sosial juga menjadi tular, manakala terbaru, pizza wagyu kami turut menarik perhatian ramai,” katanya.

Berbeza dengan kebanyakan pemilik F&B yang perlu menampung modal dalam enam hingga 12 bulan pertama, Bienz sudah mencatat keuntungan sejak awal operasi.

“Alhamdulillah, selama beroperasi, kedai kami sentiasa didatangi pelangan dan perniagaan ini terus berkembang,” ujarnya yang turut berlatarkan kerjaya asal sebagai pereka dalaman.

Setakat ini, cabaran utama adalah kekurangan tenaga kerja. Namun tiga beradik itu tidak teragak-agak untuk turun padang sendiri apabila staf tidak mencukupi.

Mengulas cabaran berniaga sesama adik-beradik, beliau mengakui isu pembahagian kerja dan kewangan perlu diurus dengan baik sejak awal.

“Tujuan utama kami adalah membantu ibu bapa. Jadi, kami sepakat untuk tidak bergaduh soal duit. Dalam syarikat, setiap orang ada pegangan saham masing-masing supaya semua jelas dan berpuas hati.

“Kepada anak muda, jangan takut mencuba. Rezeki tidak menentu, seperti semalam mungkin RM50, esok RM500. Yang penting, bangkit semula setiap kali jatuh dan terus berusaha,” katanya yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam industri rekaan dalaman dan setahun dalam F&B.

Antara hidangan utama yang menjadi kegemaran pelanggan ialah Wagyu Pizza, creamy buttermilk pasta, tiramisu, serta minuman seperti matcha strawberry, tiramisu latte dan peach tea.

Khusus bagi tiramisu yang diinspirasikan oleh adiknya, Raffil Faizul Jamir, jualannya melonjak daripada 20 hingga 30 unit sehari kepada jumlah lebih tinggi selepas menjadi tular.

“Tiramisu kami berbeza kerana dikurangkan rasa kopi memandangkan ramai pelanggan adalah kanak-kanak, tidak menggunakan telur, serta ditambah serbuk koko untuk rasa lebih seimbang.

“Kelainan Bienz juga sebenarnya terletak pada penggunaan sourdough buatan sendiri sebanyak 300 adunan setiap hari, berbeza dengan adunan biasa di kebanyakan kedai pizza.

“Daging wagyu pula kami ambil dari Jepun kerana rasanya lebih menepati piawaian kami berbanding Australia. Dari segi harga, kami pilih konsep ‘volume’, iaitu harga berpatutan supaya pelanggan boleh datang berulang kali walaupun harga bahan mentah naik turun,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN