RMK13 dijangka lonjak pasaran hartanah Malaysia

RMK13 dijangka lonjak pasaran hartanah Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka membawa perubahan besar kepada landskap pasaran hartanah negara, menerusi tumpuan terhadap perumahan mampu milik, pembangunan infrastruktur berskala besar dan pengukuhan ekonomi tempatan.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, impak langsung RMK13 akan dilihat dalam sektor hartanah kediaman, dengan kesan nyata kepada pembeli rumah, penyewa dan pemaju.

“Kita boleh menjangkakan lebih banyak rumah mampu milik, kemudahan infrastruktur yang lebih baik dan kewujudan komuniti baharu.

“Fokus utama ialah pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030, iaitu lebih dua kali ganda kadar pembinaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau turut menyatakan perancangan itu akan membawa pembangunan lebih menyeluruh dan menyentuh pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya golongan B40 dan M40 yang menjadi keutamaan dalam penyediaan rumah mampu milik.

“Dengan sasaran membina sejuta rumah mampu milik menjelang 2035, Malaysia berpotensi mencapai transformasi pasaran kediaman.

“Malaysia juga merupakan antara negara dengan kos pembinaan paling rendah di Asia Tenggara dan dengan sokongan kerajaan, matlamat ini boleh dicapai,” katanya.

Kashif menekankan RMK13 tidak hanya memberi tumpuan kepada hartanah kediaman, malah seluruh sektor hartanah akan menerima limpahan manfaat hartanah industri, logistik dan kilang dijangka terus berkembang sejajar dengan peningkatan pelaburan dalam sektor pengeluaran dan rantaian bekalan.

“Malah, sektor pembinaan akan menikmati lonjakan permintaan hasil pelaksanaan projek-projek infrastruktur utama.

“Selain itu, pasaran kediaman pula akan mengalami transformasi melalui pelaksanaan projek perumahan mampu milik berskala besar,” katanya.

Kashif berkata, beberapa negeri dijangka mencatat lonjakan nilai hartanah hasil pelaksanaan projek-projek infrastruktur strategik di bawah RMK13 iaitu  Projek East Coast Rail Link (ECRL) dijangka merangsang pasaran hartanah di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Lebuhraya Pan-Borneo pula akan membuka peluang pembangunan baharu di Sabah dan Sarawak.

“Di Johor dan Pulau Pinang, projek Sistem Transit Rapid (RTS) dan rangkaian rel bandar dijangka meningkatkan nilai pasaran hartanah serta merancakkan pembangunan kawasan sekitar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Azam Jaya Berhad, Datuk Jessica Lo Vun Che, menyatakan keyakinan pendekatan strategik RMK13 akan merangsang pertumbuhan ekonomi serantau dan memberi impak positif kepada sektor pembinaan di Sabah.

“Kami menyambut baik penekanan RMK13 terhadap pelaburan infrastruktur di Sabah, terutamanya dalam memperkukuh keterhubungan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan mobiliti serantau,” katanya.

Menurut Jessica, projek kesinambungan Lebuhraya Pan Borneo merupakan antara inisiatif penting yang selari dengan kekuatan dan keupayaan teras syarikat.

“Azam Jaya kini terlibat secara aktif dalam beberapa pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo dan kami yakin terdapat potensi untuk meluaskan skop kerja dan menambah kekuatan kepada buku pesanan kami,” tambahnya.

Selain itu, tumpuan strategik RMK13 terhadap pembangunan Hab Ekonomi Biru di Sabah turut membuka ruang bagi kerja-kerja infrastruktur sokongan, termasuk pembinaan sistem utiliti, mitigasi banjir, dan infrastruktur wilayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN