KUALA LUMPUR: Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Teroka Majubina Holdings Berhad bagi pajakan tanah seluas 4.24 hektar di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas, Pekan, Pahang melibatkan pelaburan berjumlah RM75 bilion.
Kerjasama itu bertujuan untuk pembangunan Projek Kompleks Limbungan Kapal Hibrid Tanjung Agas dengan pajakan berkenaan melibatkan tempoh 60 tahun dengan tambahan 30 tahun.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kompleks tersebut akan dibangunkan secara berfasa dan merangkumi tiga komponen utama.
“Komponen pertama adalah Green Vessel Recycling (GVR), sebagai pusat kitar semula kapal berteknologi hijau, kedua Fasiliti Pembinaan Kapal, menyediakan kemudahan pembinaan dan penyelenggaraan kapal, manakala ketiga adalah Tank Farm Oil Platform yang menyediakan kemudahan penyimpanan minyak dan gas.
“Fasa pertama akan dimulakan dengan pembangunan komponen Green Vessel Recycling yang dijangka mula beroperasi pada Julai 2027.
“Sementara itu, fasa kedua pula melibatkan fasiliti pembinaan kapal serta Tank Farm Oil Platform yang dijangka beroperasi pada Mac 2029,” katanya pada sidang media selepas menandatangi MoA bagi Projek Kompleks Hybrid Shipyard Tanjung Agas di sini hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian itu turut disaksikan oleh Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, pembangunan mega itu dijangka mampu mewujudkan sehingga 25,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, khususnya anak-anak Pahang, sekali gus memberi limpahan manfaat besar kepada ekonomi negeri dan negara
“Dengan terbinanya Kompleks Hybrid Shipyard ini, Pahang akan muncul sebagai Hab Maritim serantau, Pusat Kitar Semula Kapal Berteknologi Hijau serta Hub Minyak dan Gas yang berdaya saing di rantau ini.
“Selain itu, projek ini juga bakal menjadi pemangkin utama agenda pembangunan negeri selari dengan gagasan Aspirasi Pahang 1st dan pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025-2030 (PET30),” ujarnya.
Melalui kedua-dua gagasan ini, Pahang disasarkan muncul sebagai sebuah negeri yang berdaya tahan, berpendapatan tinggi, inklusif serta memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Saya amat berharap agar pembinaan projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan mengikut jadual, seterusnya menjadikan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid Tanjung Agas sebagai mercu tanda baharu kemajuan Negeri Pahang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Teroka Majubina Holdings Berhad, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, projek berimpak tinggi itu akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab maritim dan tenaga di peringkat global.
“Kompleks ini bukan sahaja membawa masuk pelaburan asing yang besar, malah mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat tempatan. Kami yakin projek ini akan memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas global,” katanya. – UTUSAN