PETALING JAYA: Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2025 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bakal menampilkan pendekatan lebih menyeluruh menerusi penganjuran empat persidangan serentak berkaitan industri dan komoditi eksport negara itu.
PIPOC 2025 yang diadakan pada 18 hingga 20 November ini akan membawakan persidangan pertanian, bioteknologi dan kemampanan, pengilangan, pemprosesan dan penapisan bio, hiliran dan penambahan nilai serta ekonomi global dan pemasaran.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, PIPOC 2025 mahu berkongsi maklumat terkini penyelidikan dan kemajuan industri sawit menerusi penyertaan pakar dan penggiat industri dari seluruh dunia.
“PIPOC 2025 juga berhasrat untuk mengangkat semangat kerjasama global dalam meneroka penyelesaian inovatif serta dasar mampan demi masa depan industri sawit yang berdaya saing,” katanya dalam kenyataan.
PIPOC 2025 dianjurkan secara dwitahunan itu menjangkakan lebih 100 penceramah, 200 pembentang poster dan sekitar 2,000 delegasi dalam dan luar negara untuk berkongsi kepakaran, penemuan penyelidikan, inovasi teknologi dan strategi mampan yang selari dengan landskap semasa industri.
Beliau berkata, antara tokoh yang akan menyertai PIPOC 2025 ialah mantan Pengarah Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biak Baka MPOB yang juga Felo Persatuan Diraja (Royal Society), United Kingdom, Dr. Ravigadevi Sambanthamurthi.
“Turut menyertai persidangan ini adakah tokoh berpengalaman luas industri sawit, Tan Sri Lee Oi Hian, Pengerusi Eksekutif Kuala Lumpur Kepong (KLK) Berhad yang dikenali atas kepemimpinan strategiknya dalam memacu pertumbuhan KLK pada peringkat global dengan menyampaikan ucaptama sesi Kuliah Henri Fauconnier,” katanya.
PIPOC 2025 yang bertemakan “Mentransformasi Hari Ini Memperkasa Masa Hadapan Melalui Inovasi” itu akan membawakan pameran berskala besar untuk para pengunjung secara percuma dengan himpunan lebih 400 pempamer dari dalam dan luar negara.
Persidangan itu dijangka menampilkan inovasi, produk baharu dan teknologi terkini yang merangkumi sektor huluan, hiliran, oleokimia, logistik, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi pertanian.
Ahmad Parveez berkata, PIPOC 2025 akan menyediakan platform strategik bagi memupuk rangkaian perniagaan, perkongsian ilmu dan kerjasama antara penggiat industri, pelabur, pembeli dan penyelidik.
“Turut ditawarkannya ialah pelbagai peluang penajaan dan pakej pengiklanan untuk organisasi yang ingin merebut peluang promosi dan meluaskan pengaruh jenama dalam komuniti industri global.
“PIPOC 2025 turut mampu memperkukuh daya saing, keterhubungan, dan kepemimpinan Malaysia dalam landskap global industri sawit,” ujarnya.
Ahmad Parveez memaklumkan, penyertaan peserta kini dibuka dengan kadar istimewa untuk pemegang lesen MPOB, pembentang dan pakej pendaftaran berkumpulan.
“MPOB akan menganjurkan Kejohanan Golf PIPOC 2025 dan mengatur lawatan teknikal ke ladang sawit dan pusat penyelidikan terpilih bagi memberi pendedahan kepada peserta berkenaan kemajuan dan operasi industri sawit Malaysia,” katanya.-UTUSAN