KUALA LUMPUR: PGMall, platform membeli-belah dalam talian tempatan milik Kumpulan Public Gold (PG) terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri e-dagang dengan mensasarkan 10 juta pengguna menjelang 2030 di seluruh negara.
Ia susulan kejayaan syarikat e-dagang tempatan itu menarik lebih dua juta pengguna setia di seluruh negara, meskipun baru lapan tahun beroperasi sejak mula ditubuhkan pada 2017.
Ketua Pegawai Operasi (COO) PGMall, Jerry Ng berkata, pihaknya mahu menjadi pilihan nombor satu rakyat Malaysia dengan membina komuniti setia berasaskan konsep perkongsian (sharing economy) dan ganjaran pulangan tunai (cashback).
Menurut beliau, PGMall menganggap pelanggan dan penjual sebagai rakan kongsi, bukan sekadar pengguna.
“Istilah ConsuMerchant berasal daripada gabungan perkataan consumer dan merchant yang menggambarkan setiap pengguna berpotensi menjadi peniaga. Kini PGMall mempunyai dua juta pengguna aktif dan menyasarkan 10 juta pengguna menjelang 2030.
“Kami melihat momentum pertumbuhan PGMall ketika ini amat kukuh dan yakin ia akan berkembang dengan lebih pantas dalam beberapa tahun akan datang.
“Pengembangan ini bukan hanya di Malaysia, tetapi juga di Indonesia yang menjadi fokus utama selain operasi Public Gold yang sudah ada di Singapura, Brunei dan Dubai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
PGMall baru-baru ini meraikan ulang tahun kelapannya dengan penuh gemilang menerusi penganjuran sulung PGMall Summit 2025 yang berlangsung di Hotel Pullman Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Bertemakan ‘Dari Malaysia, Untuk Rakyat Malaysia’, persidangan itu menghimpunkan lebih 350 penjual dan ConsuMerchant, sekali gus menekankan peranan PGMall yang semakin berkembang dalam memperkasakan perniagaan tempatan, usahawan digital dan ekonomi komuniti akar umbi.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Public Gold, Datuk Seri Louis Ng; Pengarah PGMall, Datin Seri Yvonne Lim dan Ketua Pegawai Operasi PGMall, Jerry Ng.
Pada majlis itu, enam anugerah berprestij membabitkan dua kategori iaitu Anugerah Penjual dan Anugerah ConsuMerchant turut disampaikan sebagai penghargaan kepada pencapaian cemerlang mereka.
Kategori Anugerah Penjual merangkumi Top Growth Seller, Top Preferred Seller dan Top Choice Seller, manakala kategori Anugerah ConsuMerchant pula melibatkan Top Personal Sales ConsuMerchant, Top Group Sales ConsuMerchant dan Top Active Frontline ConsuMerchant.
Presiden Kumpulan G100 Network, Mohd Zulkifli Shafie berkata, keunikan PGMall adalah pengguna bukan sahaja boleh membeli seperti biasa, tetapi juga boleh menjana pendapatan seperti seorang peniaga menerusi konsep ConsuMerchant.
“Dengan membina komuniti pembeli sendiri, kita berpeluang memperoleh pulangan tunai berterusan daripada transaksi komuniti tersebut.
“Saya sendiri mempunyai komuniti hampir satu juta pembeli yang mampu menjana pulangan tunai sehingga jutaan ringgit setiap tahun,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kumpulan 5G Associates, Muhammad Azam Amiri Mohd. Raffi berkata, ekosistem PGMall membolehkan beliau menggunakan pulangan tunai yang diperoleh setiap bulan untuk membeli barangan keperluan di platform sama.
“PGMall turut menawarkan pelbagai baucar, kupon serta promosi menarik termasuk ganjaran istimewa seperti gold bar percuma dengan pembelian tertinggi.
“Saya percaya PGMall wajar diperluaskan dan disokong semua rakyat Malaysia kerana ia adalah platform e-dagang tempatan pertama yang benar-benar memberi nilai kepada pengguna,” katanya.
Selain itu, Presiden Kumpulan JE24K, Azizah Hassan berkata, PGMall menawarkan kelebihan pulangan tunai seumur hidup sehingga 3.5 peratus bagi setiap pembelian.
“Melalui konsep ini, kita bukan sahaja berjimat, malah berpeluang menjana pendapatan pasif menerusi komuniti pembeli sendiri.
“Saya sudah 17 tahun bersama Public Gold dan kini mendidik orang ramai untuk bukan sahaja menyimpan emas sebagai jaminan masa depan, tetapi juga memanfaatkan PGMall untuk berbelanja secara bijak.
“Saya percaya, dengan manfaat yang berpanjangan sehingga diibaratkan ‘tujuh keturunan’, rakyat Malaysia akan semakin menyokong platform tempatan ini,” katanya.
Presiden Kumpulan PG1M, Syukor Hashim pula berharap agar kerajaan dapat memberikan sokongan kerana PGMall adalah platform lokal dengan konsep unik yang mampu memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi negara.
“Keunikan PGMall ini ialah model perniagaannya yang dipanggil beli, kongsi dan jana.
“Maksudnya, pengguna yang membeli-belah akan mendapat pulangan tunai dan jika mereka berkongsi, mereka pula akan memperoleh pendapatan tambahan melalui bayaran rujukan.
“Jadi, mereka bukan sekadar berjimat, malah berpeluang menjana pendapatan pasif,” katanya.
Presiden Kumpulan TKL Empire, Marlia Ramli berkata, PGMall adalah satu peluang untuk menjana pendapatan terutama dalam situasi pasaran kerja yang semakin terhad.
“Pendapatan boleh dijana dari rumah sahaja, malah berpotensi menyamai atau melebihi gaji seorang CEO.
“PGMall kekal kukuh dengan sokongan pelanggan setia. Fokus kini diberikan kepada memperkasa strategi pemasaran bagi meningkatkan lagi pemahaman orang ramai terhadap keunikan platform ini yang berbeza daripada pesaing lain dalam industri e-dagang,” katanya-UTUSAN