PETALING JAYA: Petronas melancarkan filem ‘With All Our Hearts’ sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang mengetengahkan semangat Rukun Negara sebagai ikrar yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia.
Naib Presiden Hubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi Petronas, Ir. Norafizal Mat Saad berkata, Rukun Negara bukan sekadar ikrar yang dilafazkan, tetapi janji berpanjangan yang menuntut rakyat menghormati nilai bersama dalam setiap tindakan.
“Nilai inilah yang menginspirasikan Petronas menghasilkan filem ini untuk semua rakyat Malaysia. Semoga prinsip yang diamalkan dengan penuh keikhlasan akan terus menyatukan kita sebagai satu bangsa, dengan sepenuh hati,” katanya dalam kenyataan.
Filem arahan Ismail Kamarul itu menyorot suasana hangat di sebuah bilik darjah Malaysia dengan elemen keikhlasan serta humor halus.
Penceritaan itu berjaya menghidupkan roh Rukun Negara yang merangkumi nilai perpaduan, kesetiaan, keadilan dan moral sebagai panduan rakyat negara ini.
Kisah tersebut berpusat kepada watak Cikgu Murni, seorang guru baharu yang menyedari ramai murid hanya melafazkan Rukun Negara ketika perhimpunan sekolah sebagai rutin, tanpa penghayatan mendalam.
Guru itu kemudiannya membimbing mereka memahami makna sebenar lima prinsip yang menjadi tiang seri perpaduan negara.
Tambah beliau, With All Our Hearts meneruskan tradisi penceritaan Petronas yang menggunakan kisah kehidupan harian rakyat sebagai medium inspirasi untuk menyalakan semangat perpaduan dan muhasabah diri.
“Seiring dengan tema Malaysia Madani: Rakyat Disantuni, filem itu mengajak orang ramai menjadikan Rukun Negara bukan sekadar ungkapan, tetapi sebagai janji hidup yang diamalkan sepenuhnya.
“Filem berkenaan ditayangkan secara rasmi pada 21 Ogos lalu menerusi saluran YouTube rasmi Petronas,” tambahnya. – UTUSAN