PETALING JAYA: Faraha Maju Enterprise yang merupakan sebuah bakeri homemade menerima peningkatan dua kali ganda selepas mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 26 Oktober 2023.
Pengurus dan Pemilik, Nur Faraha Jamal 40 berkata, dia memohon surat kelulusan permohonan pensijilan halal pada Julai 2023.
“Alhamdulillah, selepas mendapat pensijilan halal, saya dapat lihat perubahan yang ketara.
“Saya melihat keyakinan pelanggan semakin meningkat. Sebagai contoh, pihak sekolah memilih syarikat kami untuk membekalkan roti kepada pelajar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sepanjang bulan puasa kerana produk kami mempunyai pensijilan halal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, sebagai pengusaha makanan, dia percaya pensijilan halal sangat penting untuk membina keyakinan pelanggan, khususnya masyarakat Islam yang majoritinya menjadi pelanggan mereka.
“Selain memastikan semua bahan yang digunakan adalah bersih dan halal, pensijilan ini juga memberi jaminan proses penghasilan di Faraha Bakeri mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya.
Nur Faraha berkata, produk roti dan kek pisang keluarannya itu sesuai dijadikan sarapan pagi, hidangan minum petang, bekalan ke pejabat serta juadah majlis keraian seperti jamuan, kenduri dan hadiah.
“Setiap hari kami mampu menghasilkan sekitar 80 hingga 150 biji roti dan empat hingga lapan biji kek pisang bergantung kepada tempahan serta permintaan harian.
“Dari segi harga pula, kami menawarkan produk bermula daripada harga RM2 hingga RM20 bergantung kepada saiz dan jenis roti manakala, untuk kek pisang harga bermula serendah RM6 hingga RM50 mengikut size kek pisang.
“Kami menekankan kualiti, rasa asli serta harga yang berpatutan untuk semua lapisan pelanggan kami,” katanya.
Produk Faraha Bakeri yang beroperasi di Port Dickson, Negeri Sembilan itu menjual produk roti sejak 2012, bermula secara kecil-kecilan dari rumah dan berkembang sehingga sekarang.
Nur Faraha memaklumkan, setakat ini produk kek pisang dan roti mereka terjual sekitar dalam negeri.
“InsyaAllah jika ada peluang dan ruang kami ingin memasarkan sehingga ke luar negara.Setakat ini kami telah mencipta rekod menjual roti paling banyak , sebanyak seribu biji sehari,” katanya.
Dia turut menasihatkan mana-mana usahawan agak tidak gentar untuk memohon sijil halal walaupun perniagaan masih kecil.
“Prosesnya mungkin nampak mencabar, tetapi hasilnya sangat berbaloi kerana ia memberi keyakinan kepada pelanggan dan membuka banyak peluang baharu dalam perniagaan.
“Harapan saya, lebih ramai usahawan makanan akan mengambil langkah ini supaya produk kita bukan sahaja diyakini halal, tetapi juga menepati standard piawaian kebersihan dan kualiti yang tinggi. Dengan cara ini, kita dapat bersama-sama memperkukuh jenama tempatan dan membawa perniagaan kecil ke persada yang lebih besar,” katanya.-UTUSAN