Pelabur asing teruskan jualan bersih RM378.1j

Pelabur asing teruskan jualan bersih RM378.1j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabur asing meneruskan aliran jualan bersih mereka untuk minggu keempat berturut-turut, mencatat aliran keluar bersih sebanyak RM378.1 juta minggu lalu, 4.2 kali ganda lebih tinggi berbanding aliran keluar minggu sebelumnya, menurut MBSB Research. 

Firma penyelidikan berkata, mereka merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar harian antara RM13.2 juta hingga RM142.2 juta. 

“Aliran keluar tertinggi direkodkan pada hari Selasa, diikuti oleh Isnin (RM103.3 juta), Khamis (RM85.0 juta) dan Rabu (RM34.4 juta), manakala Jumaat mencatat aliran keluar paling rendah.

“Tiga sektor utama yang mencatat aliran masuk bersih asing tertinggi ialah pembinaan (RM107.4 juta), pengangkutan dan logistik (RM93.9 juta) dan Amanah Pelaburan Hartanah (REITs) (RM12.1 juta)

“Sementara itu, tiga sektor yang mencatat aliran keluar bersih asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM245.8 juta),  penjagaan kesihatan (RM154.1 juta) serta utiliti (RM114.2 juta),” katanya dalam nota aliran tunai. 

Selain itu, institusi tempatan menamatkan rekod jualan bersih selama dua minggu dengan beralih menjadi pembeli bersih pada minggu lalu, mencatat pembelian bersih sebanyak RM263.7 juta.

“Sementara itu, peruncit tempatan meneruskan aktiviti belian bersih mereka untuk empat minggu berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM114.4 juta,” katanya. 

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan secara menyeluruh minggu lalu. 

Pelabur asing dan peruncit tempatan masing-masing mencatat peningkatan sebanyak 14.9 peratus dan 2.8 peratus manakala institusi tempatan mencatat penurunan sebanyak 5.0 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN