KUALA LUMPUR: Nilai pasaran modal Islam Malaysia mencecah RM2.56 trilion setakat akhir April 2025, bersamaan 63 peratus daripada jumlah keseluruhan pasaran modal domestik sebanyak RM4.04 trilion, kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed.
Beliau berkata, seiring perkembangan itu, data terkini sehingga akhir Julai menunjukkan permodalan pasaran patuh syariah di Bursa Malaysia berjumlah RM1.3 trilion, bersamaan 66.1 peratus daripada keseluruhan permodalan pasaran saham yang bernilai RM1.9 trilion.
“Dalam tempoh sama, nilai dagangan harian purata (ADV) bagi sekuriti patuh syariah mencatatkan RM1.6 bilion atau 64.4 peratus daripada keseluruhan ADV sebanyak RM2.4 bilion.
“Selain itu, sebanyak 860 daripada 1,065 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia iaitu kira-kira 81 peratus diklasifikasikan sebagai patuh syariah.
“Perkembangan ini sekali gus menggambarkan kedudukan kukuh pelaburan patuh syariah dalam menarik penyertaan pelabur serta menjana penciptaan nilai secara mampan dan jangka panjang,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Persidangan Pelaburan Shariah 2025 di sini, semalam.
Bursa Malaysia Berhad dengan kerjasama CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd. (CGS MY) menganjurkan Persidangan Pelaburan Shariah 2025.
Penganjuran persidangan itu bertujuan menonjolkan potensi pelaburan patuh syariah sebagai satu bentuk pelaburan berasaskan nilai yang semakin mendapat sambutan di peringkat antarabangsa, sejajar dengan perubahan landskap ekonomi global.
Fad’l Mohamed berkata, kewangan Islam semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa dan kini menjadi pendekatan baharu pasaran dalam menyeimbangkan pulangan kewangan dengan nilai etika.
“Apabila jangkaan pelabur berubah, Malaysia perlu memperkukuh kedudukannya dengan menawarkan lebih banyak produk, memperluas keterhubungan serta mempertingkat akses digital yang inklusif.
“Bursa Malaysia menyokong aspirasi Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam melalui pemantapan infrastruktur pasaran, peluasan capaian dan inovasi berterusan dalam segmen produk patuh syariah.
“Masa depan kewangan Islam hanya mampu digerakkan menerusi kolaborasi. Maka, penganjuran persidangan ini amat signifikan kerana menjadi platform pertukaran pandangan yang mampu mencetus idea baharu memacu perkembangan seterusnya pasaran modal Islam,” katanya.
Pada peringkat global, kira-kira 80 peratus aset industri kewangan Islam tertumpu di lima pasaran utama iaitu Iran, Arab Saudi, Malaysia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait.
Industri tersebut dijangka terus berkembang dengan jumlah aset diunjur mencecah AS$7.5 trilion (RM31.70 trilion) menjelang 2028 berbanding AS$5.5 trilion (RM23.25 trilion) pada 2024, sekali gus mencerminkan peranan dan pengaruhnya yang semakin meluas.
Malaysia terus mengungguli pasaran modal Islam dengan jumlah aset patuh syariah kini melebihi RM2.6 trilion, merangkumi 63 peratus daripada keseluruhan pasaran modal negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pertumbuhan seterusnya dalam sektor kewangan Islam dijangka tidak lagi didorong semata-mata oleh pematuhan merentas kelas aset, sebaliknya dipacu oleh tahap keterhubungan merangkumi aspek geografi dan peralihan generasi.
“Sehubungan itu, semua pihak berkepentingan termasuk bursa, pengawal selia, pengurus aset serta golongan ilmuwan diseru untuk berganding bahu memastikan kewangan Islam kekal relevan dan berdaya saing.
“Ini bukan sahaja daripada segi prinsip, tetapi juga pendekatan yang selaras dengan keperluan pasaran dan pelabur semasa,” ujarnya. – UTUSAN










