Maybank, Microsoft jalin transformasi digital bernilai RM1b

Maybank, Microsoft jalin transformasi digital bernilai RM1b

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maybank memeterai perkongsian strategik dengan Microsoft bernilai kira-kira RM1.0 bilion untuk mempercepat perjalanan transformasi digital dan mengukuhkan komitmennya dalam meningkatkan pengalaman pelanggan.

Menurut kenyataannya, perkongsian ini menyaksikan Maybank menerima kemudahan kolaborasi Microsoft, awan, kecerdasan buatan (AI) dan keupayaan keselamatan bagi memacu tumpuan pelanggan, meningkatkan ketangkasan operasi dan memupuk budaya inovasi berterusan. 

Perkongsian untuk tempoh lima tahun ini juga melibatkan peningkatan kepada keupayaan sedia ada Microsoft 365.

Teras perkongsian ini, Maybank akan menggunakan Microsoft Azure sebagai satu daripada platform awan utama untuk beberapa sistem, fungsi dan beban kerja data strategik.

“Langkah ini menyediakan Maybank dengan asas seni berskala, berdaya tahan dan selamat, membolehkan analisis data masa nyata, penggunaan perkhidmatan baharu yang lebih pantas dan kecekapan operasi yang ketara.

“Untuk meningkatkan lagi produktiviti dan kecerdasan, Maybank akan melancarkan Microsoft 365 Copilot di kalangan 44,000 pekerjanya. Penyepaduan ini akan memperkasakan kakitangan Maybank dengan keupayaan berkuasa AI yang meluas,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, perkongsian strategik dengan Microsoft merupakan suatu lonjakan ke hadapan dalam perjalanan transformasi digital melangkaui strategi M25+.

“Ia bukan sahaja mengenai teknologi, ia melibatkan pemikiran ke hadapan demi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami, menambah baik cara kami bekerja dan mempercepat inovasi. 

“Dengan teknologi yang betul dalam memperkukuh persekitaran perniagaan, kami komited untuk membina bahagian teras lebih cepat, fleksibel berdaya saing demi mamacu pertumbuhan secara mampan dan menjana penciptaan nilai jangka panjang bagi semua pemegang berkepentingan dan pelanggan kami,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Microsoft ASEAN, Mayank Wadhwa berkata, Malaysia berada pada saat yang penting dalam perjalanan digitalnya dan Maybank mendahului melalui teladan.

“Dengan menerapkan kecerdasan ke dalam teras perkhidmatan kewangan, Maybank mengubah cara dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggannya sambil mencerminkan contoh yang kuat untuk industri di seluruh ASEAN. 

“Di Microsoft, kami komited untuk menyokong visi berani ini yang menginsankan inovasi dan memperkasakan pertumbuhan ekonomi di rantau ini,” jelasnya.

Perkongsian ini akan meliputi operasi Maybank di seluruh ASEAN dan selanjutnya serta menonjolkan komitmen berterusan Maybank untuk memacu pendigitalan dan penggunaan AI di ASEAN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN