PETALING JAYA: Penyedia peranti dan penyelesaian perubatan, LAC Med Berhad (LAC Med) memperoleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Ditubuhkan pada 2003, LAC Med bersama anak syarikat yang dicadangkan mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia perkhidmatan hujung-ke-hujung dalam pembekalan serta penyepaduan peranti perubatan.
Kumpulan kini menyokong lebih 300 pelanggan aktif di seluruh negara termasuk hospital awam dan swasta, universiti, pejabat kesihatan daerah, pembekal peranti perubatan dan syarikat konsesi.
Kepakaran syarikat meliputi perancangan awal dan reka bentuk, pembekalan serta pemasangan peranti, ujian dan pentauliahan, selain perkhidmatan sokongan selepas pemasangan seperti latihan, sokongan teknikal dan penyelenggaraan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LAC Med, Liew Yoon Poh berkata, kelulusan SC itu membuka peluang pertumbuhan lebih besar termasuk membangunkan segmen perniagaan baharu dan mengembangkan pasaran ke Indonesia.
“Kami kekal komited mencipta nilai jangka panjang untuk industri penjagaan kesihatan serta pemegang taruh dan pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Selain menjadi pengedar sah jenama Samsung dan Philips sejak 2013 dan 2017, LAC Med turut mewakili Stryker, LG, SwiftMR, Abbott, annalise.ai dan Baxter sejak tahun lalu.
Syarikat itu juga menyediakan perisian dan penyepaduan sistem untuk menghubungkan pelbagai peranti perubatan, pengurusan data, analitik serta sokongan keputusan klinikal berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Kumpulan itu memiliki rangkaian sokongan luas di seluruh Semenanjung dan Malaysia Timur.
Ini merangkumi sembilan pengurus projek atau perniagaan, 11 pakar aplikasi klinikal, 24 pegawai jualan dan pengurusan akaun, serta 19 jurutera perkhidmatan lapangan dan kakitangan teknikal untuk melaksanakan penyelenggaraan serta memberikan sokongan teknikal yang pantas dan boleh dipercayai.
RHB Investment Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal bagi pelaksanaan IPO ini.-UTUSAN