PETALING JAYA: Kumpulan Syarikat ISP, sebuah kumpulan berfokus kelestarian yang membangunkan dan memiliki aset strategik dalam Gudang Logistik dan Hab Pembuatan (LWMH) serta Penginapan Pekerja Dibina Khas (PBWA) dinobatkan sebagai syarikat terbaik (Anugerah Kebajikan Komuniti – Penginapan dan Logistik) di Anugerah Sustainability & CSR Malaysia 2025 kali ke-10.
Anugerah anjuran CSR Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemapanan dan Korporat Malaysia, anugerah tahunan ini mengiktiraf syarikat yang menunjukkan komitmen bermakna terhadap kelestarian, tadbir urus dan inisiatif berfokuskan komuniti.
Dilancarkan pada 2024, program Nourish with Hope, ISP Cares! memberi manfaat kepada lebih 120 keluarga berpendapatan rendah di Sekinchan, dengan menyalurkan lebih RM216,000 dalam bentuk bekalan makanan asas, kelengkapan sekolah dan keperluan harian.
Kini memasuki kitaran ketiga, inisiatif ini telah berkembang daripada program bantuan kecemasan semasa pandemik kepada usaha berstruktur yang memberi tumpuan kepada keselamatan makanan, pendidikan dan ketahanan komuniti.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ISP Holding Sdn. Bhd. berkata,Eric Ng berkata, usaha pihaknya tidak hanya tertumpu pada pembangunan infrastruktur.
Katanya, beliau percaya pada pembinaan peluang, ketahanan, dan maruah untuk komuniti sekitar.
“Anugerah ini mengesahkan kejayaan korporat mesti seiring dengan tanggungjawab sosial.
“Selain program komuniti, ISP terus mengintegrasikan kelestarian dalam pembangunan hartanah. Projek PBWA direka untuk meningkatkan kualiti kehidupan pekerja sambil mengurangkan jejak karbon, manakala pembangunan LWMH menggabungkan ciri-ciri cekap tenaga, pencahayaan semula jadi, sistem tadahan air hujan serta integrasi tenaga solar,” katanya dalam kenyataan.
Kumpulan itu mengamalkan amalan buruh beretika yang selaras dengan piawaian antarabangsa bagi penginapan dan keselamatan.
Dengan sembilan LWMH dan empat PBWA dalam portfolio kami, ISP berhasrat untuk menunjukkan bagaimana pembangunan hartanah industri boleh memberikan nilai ekonomi dan sosial secara serentak.
Menurut Ng, anugerah ini adalah satu pencapaian penting, tetapi ia juga merupakan satu tanggungjawab.
“Matlamat kami adalah untuk memperluas impak seiring dengan pertumbuhan, memastikan setiap projek baharu menyumbang secara positif kepada industri dan komuniti yang kami dampingi,” katanya.
Anugerah Sustainability & CSR Malaysia 2025 menonjolkan pencapaian syarikat-syarikat Malaysia yang menyumbang kepada pertumbuhan mampan negara.
Pengiktirafan terhadap ISP mencerminkan peningkatan jangkaan agar perniagaan mengintegrasikan pertimbangan alam sekitar dan sosial dalam strategi utama mereka.-UTUSAN










