DALAM suasana ekonomi yang terus berkembang dengan pelbagai cabaran domestik dan global, corak pemikiran pengguna dalam pasaran hartanah Malaysia turut mengalami perubahan ketara.
Pembeli rumah kini tidak lagi membuat keputusan semata-mata berdasarkan harga atau promosi jangka pendek.
Sebaliknya, mereka semakin cenderung untuk menilai aspek nilai sebenar yang ditawarkan oleh hartanah termasuk lokasi strategik, keterhubungan yang baik, serta kualiti gaya hidup yang menyeluruh.
Oleh itu, sejauh manakah permintaan hartanah pada separuh kedua tahun ini?
Pengurus Negara Malaysia PropertyGuru dan iProperty, Kenneth Soh, menyatakan pembeli kini lebih menilai nilai sebenar yang ditawarkan oleh sesuatu hartanah, berbanding hanya melihat tanda harga.
“Walaupun aktiviti pencarian hartanah masih aktif, corak pemilihan lebih tertumpu kepada keseimbangan antara harga mampu milik, keterhubungan lokasi dan gaya hidup yang ditawarkan.
“Data daripada PropertyGuru Malaysia untuk April 2025 menunjukkan bahawa segmen-segmen tertentu, khususnya hartanah yang menawarkan keseimbangan antara harga mampu milik dan keperluan gaya hidup moden, masih menunjukkan prestasi positif.
“Contohnya, rumah teres di Selangor mencatatkan peningkatan permintaan sebanyak 2.7 peratus tahun ke tahun, manakala jumlah unit tidak terjual menurun sebanyak 40 peratus, mencerminkan perubahan dinamik dalam corak pembelian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam konteks ini, pemaju dan pemain industri hartanah perlu memahami keperluan serta keutamaan pengguna masa kini.
Projek-projek yang dirancang perlu mengambil kira bukan sahaja daya tarikan harga, tetapi juga kemampanan reka bentuk, elemen kesejahteraan serta daya hubung kawasan sekitar.
Hanya dengan pendekatan holistik dan berpandangan jauh, barulah pasaran hartanah dapat terus kekal relevan dan berdaya saing dalam landskap ekonomi semasa.
Tambah beliau, kemampuan memiliki rumah bukan sekadar soal harga, tetapi persepsi terhadap nilai yang ditawarkan. Pembeli semakin berwaspada dan membuat keputusan berdasarkan lokasi, keterhubungan dan tahap keselesaan sebelum komited untuk membeli.
“Selain itu, pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini kepada 2.75 peratus juga merupakan faktor yang dapat membantu merangsang permintaan.
“Kos pinjaman yang lebih rendah memberikan kelegaan kepada pembeli rumah pertama dan pemilik rumah sedia ada, sekali gus berpotensi menarik semula pembeli yang sebelum ini masih berfikir untuk memasuki pasaran dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.
Malah, pihaknya menjangkakan momentum pasaran akan meningkat secara berperingkat dalam separuh kedua 2025, terutamanya dalam segmen yang selari dengan keutamaan pembeli yang semakin mementingkan nilai.
Kenneth berkata, pemotongan OPR baru-baru ini dijangka dapat meningkatkan sentimen pembeli, terutamanya dalam segmen pertengahan dan mampu milik.
“Pemaju yang responsif, serta menawarkan hartanah pada harga berpatutan dan lokasi strategik, berpotensi untuk menarik minat baharu.
“Pada pandangan kami, hartanah dalam julat harga RM500,000 hingga RM800,000 kekal berdaya tahan, terutamanya apabila digabungkan dengan akses infrastruktur yang baik dan ciri-ciri kualiti hidup seperti ruang hijau atau pembangunan berorientasikan transit,” katanya.
Mengulas lanjut, pihaknya juga menjangka peningkatan aktiviti dalam segmen pasaran sekunder dan hartanah tidak terjual apabila tahap kemampuan pemilikan semakin bertambah baik.
“Walaupun perubahan dalam tingkah laku pembeli mengambil masa untuk benar-benar berlaku, kami percaya fasa ini menawarkan peluang kepada pembeli dan pemaju untuk kembali aktif dalam pasaran dengan keyakinan yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perisikan Hartanah Kumpulan PropertyGuru, Dr. Lee Nai Jia, berkata, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap sektor kediaman menambah ketidaktentuan dalam pasaran.
“Walau bagaimanapun, permintaan terhadap perumahan dijangka kekal kukuh walaupun berdepan cabaran geopolitik global yang berterusan,” ujarnya. – UTUSAN










