Hartanah mewah, komersial lembab sebab pinjaman tinggi

Hartanah mewah, komersial lembab sebab pinjaman tinggi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMINTAAN hartanah pada suku kedua masih stabil, terutama dalam segmen rumah mampu milik, kawasan strategik dan yang mudah akses kepada pengangkutan awam meskipun wujud ketidaktentuan geopolitik dan pelaksanaan subsidi bersasar.

Bagaimanapun, permintaan bagi hartanah mewah dan komersial agak lembab kerana faedah pinjaman masih tinggi.

Profesor Kewangan Dan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Prof Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, pengguna kini lebih berhati-hati dan selektif, menilai kos sara hidup dan kestabilan pekerjaan sebelum membuat keputusan membeli.

“Kerajaan disaran terus memperkukuh penawaran rumah mampu milik, memperkenalkan insentif bersasar, serta memudahkan akses pembiayaan agar pasaran hartanah kekal lestari dan inklusif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, pasaran hartanah Malaysia ketika ini agak kukuh, disokong oleh pelbagai faktor rangsangan termasuk dasar kewangan yang kondusif serta insentif berterusan daripada kerajaan dan bank pusat. 

“Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dilihat memainkan peranan penting dalam merangsang permintaan, terutamanya dalam kalangan pembeli rumah pertama dan pelabur berpotensi.

“Insentif semasa ini dilihat menarik dan mampu mengekalkan tahap minat yang tinggi dalam sektor pelaburan hartanah. 

“Pada masa yang sama, usaha kerajaan untuk memperkasakan infrastruktur serta menyediakan pelbagai kemudahan dan galakan kepada kumpulan pemaju turut menyumbang kepada kestabilan trend pasaran,” katanya. 

Dalam pada itu, perunding hartanah, Team Leader IQI Realty Sdn. Bhd., Amiruddin Abdul Rahman berkata, pada suku kedua 2025 ini banyak rumah pasaran sekunder untuk dijual disekitar Lembah Klang. 

“Antara sebabnya adalah penjual tidak mampu menanggung bayaran bulanan bank yang mengalami kenaikan disebabkan kenaikan beberapa kali OPR oleh BNM. 

“Faktor ekonomi yang semakin menekan juga menyebabkan mereka bertindak untuk menjual hartanahnya. Bila ada banyak rumah yang hendak di jual di pasaran, pembeli ada banyak pilihan jenis rumah dan harga yang terbaik.

Bagi pasaran primer pula, pemaju yang mempunyai projek rumah bertingkat seperti kondominium atau apartmen pula menghadapi kesukaran untuk menjual di sebabkan banyak pesaing lain menawarkan harga yang lebih kompetitif dan dengan pakej pembelian yang menarik. 

“Ada juga pemaju terpaksa memotong harga lebih rendah dari harga pelancaran beberapa tahun sebelumnya. Kebaikan kepada pembeli boleh mendapat harga yang lebih murah berbanding sebelumnya,” katanya. 

Dari aspek lokasi, kawasan pinggir bandar Kuala Lumpur seperti Bangi, Kajang, Semenyih, serta Rawang terus mencatatkan minat yang konsisten. 

Di selatan tanah air, Johor Bahru menyaksikan peningkatan permintaan semula susulan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) dan inisiatif zon ekonomi khas. 

Selain itu, hartanah berdekatan stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) pula kekal menjadi tumpuan pembeli berorientasikan akses pengangkutan.

Secara keseluruhan, corak pembelian menunjukkan pembeli semakin bijak dan berfokus kepada nilai jangka panjang. Faktor seperti lokasi strategik, keboleh capaian, yuran penyelenggaraan dan potensi pulangan sewa semakin diberi perhatian dalam membuat keputusan pembelian.

“Bagi pembeli yang merancang untuk memiliki hartanah dalam tempoh terdekat, dinasihatkan agar menyemak kelayakan pembiayaan dengan teliti. Skim Jaminan Kredit Perumahan dan pelbagai inisiatif kerajaan masih tersedia bagi membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk memiliki rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×