Gen Sphere tawar pemilikan kekal berhampiran RTS Link

Gen Sphere tawar pemilikan kekal berhampiran RTS Link

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROJEK pembangunan kediaman Gen Sphere oleh Majestic Gen Sdn. Bhd. tampil sebagai antara peluang pelaburan hartanah jarang ditemui di pusat bandar Johor Bahru dengan status pemilikan kekal dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM837 juta.

Lokasinya turut strategik berhampiran projek Rapid Transit System Link (RTS Link) yang bakal menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura dalam masa perjalanan sekitar enam minit sahaja.

 

Harga unit bermula daripada RM609,000, menjadikannya antara pilihan kompetitif bagi kediaman moden di lokasi utama yang semakin berkembang pesat.

Pengarah Eksekutif Majestic Gen, Ta Wee Dher berkata, pembangunan infrastruktur seperti RTS Link akan menjadi pemangkin kepada permintaan kediaman yang lebih terancang dan terhubung.

“RTS Link dijangka mengubah cara kita hidup dan bergerak, menjadikan hubungan antara komuniti, pekerjaan dan gaya hidup lebih lancar dan bermakna.

“Gen Sphere direka untuk memenuhi keperluan masa hadapan berpaksikan seni bina bermutu, gaya hidup moden dan nilai hartanah jangka panjang,” katanya dalam kenyataan. 

 

Didirikan di atas tanah seluas 0.51 hektar, pembangunan itu menawarkan 996 unit pangsapuri servis berstatus hak milik kekal, bersama empat lot ruang niaga. 

Lokasinya hanya sekitar 440 meter dari JB Sentral dan 700 meter dari Stesen Bukit Chagar RTS Link, disokong cadangan pembinaan jejantas yang akan disambungkan kepada jambatan sedia ada ke JB Sentral, dijangka memperkukuh lagi mobiliti rentas sempadan. 

Kedudukannya sesuai untuk pembeli rumah pertama, profesional muda dan pelabur yang melihat potensi jangka panjang Johor Bahru.

Menurutnya, Gen Sphere diilhamkan oleh falsafah reka bentuk “Nexus Sphere” yang menjadi metafora kepada titik temu budaya, idea dan komuniti, mencerminkan denyut baharu Johor Bahru sebagai bandar kosmopolitan yang sedang pesat membangun. 

“Melengkapkan visi tersebut, konsep “Neo Horizon” mengangkat pendekatan Neo-Futuristik berinspirasikan biomimikri, menggabungkan unsur semula jadi, teknologi dan keselesaan moden untuk mewujudkan pengalaman hidup yang progresif, lestari dan beremosi.

“Ciri seni binanya menyerlah dengan estetik futuristik, elemen neon dan permukaan reflektif yang memperkuatkan identiti Gen Sphere sebagai mercu gaya hidup baharu di tengah bandar. 

“Dari segi susun atur, kediaman ditawarkan dalam pelbagai konfigurasi termasuk satu bilik tidur (459 kaki persegi), tiga bilik tidur (sehingga 755 kaki persegi), unit dwi-kunci pintar untuk fleksibiliti guna, dan unit duplex eksklusif dengan siling berketinggian berganda serta pemandangan bandar,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majestic Gen, Datuk Hoo Kim See berkata, projek ini bukan sekadar penyediaan tempat tinggal tetapi cerminan gaya hidup bandar yang maju dan terhubung.

“Kami mahu mencipta kediaman yang bukan sahaja memenuhi gaya hidup moden, tetapi turut menghubungkan penduduk dengan masa depan Johor Bahru. 

“Gen Sphere lahir daripada visi bandar progresif dan semangat komuniti yang bergerak seiring dengan arus kemajuan,” ujarnya.

Dengan infrastruktur yang pesat, pertumbuhan pelaburan asing dan minat pelabur terhadap hartanah di selatan tanah air, Gen Sphere dilihat mampu menjadi antara pemangkin kepada gaya hidup baharu yang selari dengan hala tuju pembangunan masa depan Johor Bahru.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN